SURAT TERBUKA KEPADA MOF, SC DAN
BURSA MALAYSIA - KERJAYA REMISIER YANG TERPINGGIR
Kepada sesiapa yang berkenaan di,
Ministry of Finance
Securities Commission
Bursa Malaysia
Nama saya Faizal Yusup atau FY.
Surat terbuka ini FY tujukan kepada anda. Semoa ia membawa kepada keterbukaan
pintu hati dan kefahaman kepada anda mengenai betapa terpinggirnya kerjaya
sebagai seorang remisier serta cadangan akan kaedah bagaimana untuk
mengembalikan kegemilangannya.
Remisier.
Kerjaya yang hanya wujud di
Malaysia dan di Singapura.
Dahulu di tahun 90’an kerjaya sebagai
remisier ini merupakan satu kerjaya yang gemilang dimana boleh pada masa itu
brokerage pada kadar 1% dengan kenaikan pasaran saham telah menjadikan
kebanyakan remisier seorang jutawan.
Namun semua itu telah berlalu.
Sejak Asian Financial Crisis pada tahun 1997 dan Sub Prime Crisis di Amerika
sekitar tahun 2007 yang menyebabkan kejatuhan pasaran saham segalanya berubah.
Pada tahun 2008 pula dasar liberalisasi diperkenalkan dengan membiarkan market
forces menentukan halatuju pasaran dalam banyak segi dengan gangguan yang
minima dari pihak regulators.
Ini menyebabkan antaranya
keistimewaan penyertaan 30% Bumiputera dalam pasaran kewangan dilonggarkan,
liberalisasi terhadap persaingan antara broker saham, terhadap brokerage lantas
menyebabkan kerjaya sebagai remisier ini tergugat, kerjaya dalam bidang
pelaburan terjejas malah syarikat-syarikat broker juga semakin lama semakin
berkurangan dan sebagainya.
Persoalannya adakah strategi ini
bagus, praktikal dan sesuai untuk negara kita yang sedang membangun ini?
Pada FY strategi yang
diperkenalkan di Barat, di negara-negara maju dimana tamadunnya jauh lebih lama
bertapak tidak sesuai kalau dilaksanakan di negara ini. Brunei contohnya tidak
mempedulikan undang-undang Barat tetapi terus sahaja memperkenalkan satu demi
satu undang-undang Islam yang pastinya bakal membawa kebenaran dan kejayaan.
Namun demikian di sini, itu semua tidak berlaku.
Kali ini FY ingin menceritakan
tentang dasar liberalisasi terhadap brokerage fees yang dikenakan dalam setiap
penjualan dan pembelian saham. Kalau dahulu ia 1% tetapi sekarang ia 0.7%
maksima dengan minima RM40 sekiranya menggunakan khidmat Remisier. Masalahnya
ialah ia tiada lantai sekiranya pelabur menggunakan kaedah online. Jadi di sini
ia boleh turun sehingga 0% atau percuma sama sekali dengan terma dan syarat
yang tertentu. Yang peliknya perkara yang sama tidak pula dikenakan terdapat
transaksi saham-saham unit amanah. Para agen masih boleh mendapat antara 1.5%
hingga 5% yuran atas pembelian saham-saham amanah itu. Jadi, industri ini
berkembang dengan adanya insentif duit yang besar ini. Begitu juga industri
Insuran yang mengenakan yuran yang tinggi bagi setiap pembelian polisi Insuran.
Namun ini tidak berlaku kepada
Remisier yang juga merupakan agen bagi pelabur untuk melabur secara terus dalam
pasaran saham. Keadaan ini sebenarnya menyumbang kepada pelbagai permasalahan.
Kekurangan dan penurunan kadar brokerage ini menyebabkan industri yang begitu
hebat pada tahun 90an menjadi lemah gemalai kini. Syarikat broker dan para
pekerjanya terjejas. Syarikat broker yang boleh memberikan 24 bulan bonus sudah
tiada lagi. Banyak yang ditutup, pekerja diberi Voluntary Separation Scheme (VSS)
dengan pampasan tertentu untuk diberhentikan.
Profesion Remisier yang begitu
gah sebagai konsultan professional satu ketika dahulu hanya tinggal kenangan. Kegemilangan
di tahun 90an telah menjadi lipatan sejarah. Ramai yang telah meninggalkan
pasaran dan mencari kerja lain. Yang masih tinggal kebanyakannya tidak aktif,
kalaupun masih datang ke pejabat mereka punya kerja sampingan yang lain bagi
menampung kehidupan. Memandu teksi, berniaga kecil-kecilan, menjadi agen
insuran dan saham amanah, buat catering, berniaga restoran, menjadi dealer
kereta malah ada yang hanya berharap kepada belas ihsan suami atau isteri
mereka yang bekerja. Kepada yang proaktif maka mereka menjalankan pelbagai
aktiviti dagangan yang tidak hanya terhad di Bursa Malaysia, mereka menjalankan
kursus dan seminar dan sebagainya demi menyara kehidupan.
Populasinya menurun dan tak ramai
yang ingin menceburkan diri dalam industri yang serba mencabar, tiada economical gain dan highly
regulated ini. Silap tindakan kerugian bakal menjelma, silap percaturan
denda yang besar pula akan dikenakan oleh pihak yang berwajib, silap langkah
lesen akan ditarik balik.
Bank backed broker boleh mengenakan caj brokerage
yang rendah kerana mereka mendapat deposit daripada para pelabur dan duit
deposit ini boleh digunakan sebagai pinjaman yang dikenakan bunga dan
sebagainya. Atas sebab ini brokerage digunakan sebagai hadiah kepada para
pelabur mereka. Namun demikian strategi ini tidak boleh digunapakai oleh broker
saham yang tiada Bank Backed.
Keadaan ini pula membawa kepada
price war antara broker lantas menyebabkan para pelabur lari ke sana mengikut
broker mana yang memberikan caj yang terendah. Namun demikian perlu FY jelaskan
melabur saham ini bukanlah mudah, tanpa bantuan remisier yang baik, tanpa ilmu
kerugianlah yang bakal menjadi milik anda.
Liberalisasi brokerage ini juga
memudahkan para sindiket saham untuk memanipulasi pasaran dengan membuka banyak
akaun online dan trade melaluinya dengan kadar brokerage yang rendah akan memudahkan
urusan mempermainkan harga-harga saham ini dan ia juga menyebabkan aktiviti
gelap mereka ini sukar dikesan.
Tamadun ini masih lagi muda dan
mentah. Pasaran saham di negara ini bermula pada tahun 1963 sedangkan di
Amerika ia telah wujud sejak kurun ke 18 lagi lebih 150 tahun lamanya. Pelabur
negara ini masih belum cukup sophisticated
dan pengenalan kepada instrumen-instrumen kewangan serta produk-produk kewangan
yang baru dalam pasaran sepertimana yang ada di negara maju tidak difahami
lantas selalunya ia akan hanya dipinggirkan pelabur.
Maka di sinilah perlunya para
Remisier yang berpengetahuan, berpendidikan dan berpengalaman untuk mendidik
para pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang baik dan berhemah yang
bakal menguntungkan pelaburan yang dibuat pelabur.
Liberalisasi brokerage ini telah
diperkenalkan di Singapura dan ia membawa kesan yang negatif kepada remisier,
ia juga memberi kesan buruk kepada beberapa saham yang dimanipulasikan dengan
teruk yang membawa kerugian besar kepada banyak pihak. Di Thailand lantai
brokerage yang dikenakan ialah lebh kurang RM95 bagi setiap transaksi dan ini
membawa kepada kebaikan. Ini kerana duit ini boleh digunakan broker untuk
pelbagai aktiviti dan program pendidikan di seluruh Thailand bagi meningkatkan
kefahaman para pelabur runcit di sana. Ia juga membolehkan industri pelaburan
dan broker ini berkembang dengan baik. Jumlah dagangan dan nilai dagangan juga
lebih tinggi kalau dibandingkan negara ini.
Akhirnya bila difikirkan
liberalisasi dengan membiarkan market
forces mengambil tempatnya dan ini bakal membunuh remisier dan juga broker.
Hanya remisier yang proaktif yang akan selamat dan hanya broker yang besar yang
akan dapat terus bertahan di masa-masa yang mendatang. Mungkin inilah yang
mereka mahu. Dewasa ini mereka yang besar dan berduit akan berkuasa dalam
menentukan hala tuju yang akan hanya menguntungkan mereka.
Usaha memperjuangkan Standardize Brokerage Rates (SBR) merupakan
usaha bersatu yang berterusan dari PRIBUMI, PERSAMA dan PERIMSA namun masa
depan dan kejayaan kepada usaha ini nampaknya semakin lama semakin pudar dan
malap. Walau apa juga alasan yang diberikan Dasar Liberalisasi nampaknya lebih
berkuasa.
Andai ia berjaya FY percaya the spin effect will be tremendous!. Peluang
kerjaya dalam industri ini akan terbuka luas baik bagi broker mahupun remisier.
Ia boleh membantu mengurangkan lebih 400,000 graduan yang menganggur dewasa
ini, ia akan menguntungkan broker dan mengembalikan kerjaya remisier ke zaman
kegemilangannya. Lebih ramai populasi remisier akan membawa kepada lebih ramai
pelabur, lebih ramai pelabur akan membawa kepada kenaikan volum, kecairan dan velocity
dalam pasaran saham. Pasaran modal akan meningkat dan ini akan menguntungkan
pelbagai pihak, ia kemudian akan merancakkan ekonomi kerana kenaikan kuasa beli
dan consumer spending mana pastinya
akan mengukuhkan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya sepertmana yang berlaku
di tahun-tahun 90 an dahulu.
Dewasa ini hanya terdapat lebih
kurang 6500 pemegang lesen Dealer’s Representative yang terdiri dari Remisier
dan Dealer untuk berkhidmat kepada 30 juta rakyat Malaysia sedangkan terdapat
lebih 30,000 agen Insuran, agen Unit Trust dan agen kad kredit di negara ini.
Atas sebab itulah mereka mencapai KPI mereka sedangkan Remisier tidak kerana
kurangnya forces atau kekuatan dalam
pasaran. Dalam 6500 itupun mungkin separuh tidak aktif kerana pendapatan yang
semakin berkurangan dengan pengenalan dasar Liberalisasi sejak tahun 2008 ini.
Kalaupun tidak ada Remisier
selain di Singapura dan Malaysia, apa salahnya kerjaya ini diperkembangkan? Dan
bukannya dibunuh hanya kerana kita ingin mengikut cara dan kaedah di Barat? Kementerian
dan Menteri di negara ini pun lebih banyak dan ramai rationya kalau dibandingkan
dengan negara-negara lain sebagai contoh. Bukankah ia memberikan satu peluang
kerjaya yang unik kerana menjadikan seseorang itu seorang usahawan, peluang
kerjaya yang pelbagai di syarikat-syarikat broker, peluang pengembangan
syarikat-syarikat broker yang akhirnya membayar cukai kepada kerajaan. Yang mana
menguntungkan semua pihak? Tapi ia perlukan sokongan dari pihak yang berwajib,
sokongan dalam penggubalan undang-undang yang membawa kepada kemudahan dalam menjalankan
urusniaga, sokongan dalam bentuk perks
yang membawa kepada keuntungan dalam bentuk kewangan bagi setiap peserta dalam
industri ini.
Bayangkanlah apakah yang akan
terjadi kepada pasaran andai jumlah remisier melebihi 30,000 orang sepertimana
agen unit trust, kad kredit dan Insuran? FY yakin pasaran akan hidup sihat dan
gemilang dan silap-silap kembali ke zaman kegemilangannya di tahun-tahun 90an
dahulu.
Sebaliknya ingin FY tegaskan Dasar
Liberalisasi ini akan hanya mengundang kepada keadaan yang sebaliknya. Tepuk
dada tanya selera.
Sekian.
Yang benar,
Faizal Yusup
Remisier
Kenanga Investment Bank Berhad
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera
Malaysia
016 6667430
Nota – Surat terbuka ini ditulis
atas kapasiti individu FY sebagai blogger dan tak ada kena mengena dengan
Kenanga Investment Bank Berhad mahupun Persatuan Remisier Bumiputera Berhad.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.