Monday, January 27, 2014

KERUGIAN DALAM PASARAN SAHAM?


Assalamualaikum...

Pasaran saham jatuh menjunam hari ini. KLCI jatuh 23.69 mata kepada 1778.88 mata. Kejatuhan yang secara langsung mengikut kejatuhan Dow Jones melebihi 300 mata hari sebelumnya. Kejatuhan ini dikatakan disebabkan oleh beberapa perkembangan, isu tapering di USA iaitu pengurangan bajet pembelian Bond Kerajaan, isu di China, isu nilai matawang di Australia, Turkey dan Argentina dan sebagainya.

Semua ini merupakan sentimen negatif kepada pasaran saham serantau dan ini termasuklah Bursa Malaysia. Pada FY koreksi (correction) pasaran telah lama dinantikan memandangkan kenaikan pasaran yang berterusan sejak sekian lama tidak dapat diteruskan lagi. Pasaran perlu bernafas dan berehat dan technical correction ini sebenarnya bagus kepada pasaran.

FY telah bertemu dengan keadaan banyak kali dan ia bukanlah satu masalah. InsyaAllah pasaran akan kembali ceria nanti.

Sebenarnya pasaran begini boleh menyebabkan ramai pelabur mengalami kerugian kalau kita tak tahu apa yang kita laburkan. Ia merupakan satu ujian ketahanan. Pelabur yang dapat bertahan adalah pelabur yang baik dan berhemah.

Kali ini FY ingin berkongsi serba sedikit pengalaman FY dalam bidang pelaburan saham ini dengan harap ada satu dua perkara yang anda baca di sini boleh membawa manfaat kepada anda.

Setelah mendapat diploma Analisa Pelaburan dari UITM pada tahun 1991 FY meneruskan pengajian dalam bidang yang sama di peringkat ijazah di University of Nebraska Lincoln. Menjelang tahun 1996 FY telahpun memasuki pasaran. FY mendapat lesen pada tahun 1997 dan di sini bermulalah langkah FY “berperang” dengan Bursa Malaysia. Sepanjang 17 tahun dalam pasaran saham ini pelbagai suka duka pahit maung telah dilalui dan yuran pelajarannya amat mahal. Yuran dalam bentuk kerugian dalam pasaran saham adalah perkara biasa.

Pada masa itu terdapat ramai pemegang lesen yang seangkatan dengan FY. Katalah 2000 orang yang permulaannya sama dengan FY baik dia melayu mahupun bukan. Pada ketika ini terdapat ramai juga Remisier Cina yang dalam pasaran saham ini.

Naik turun pasaran saham adalah perkara lumrah dalam mana-mana pasaran saham. Mereka yang dapat bertahan adalah mereka yang tidak berputus asa. Bila jatuh mereka akan bangkit mengambil iktibar dan meneruskan perjalanan kehidupan. 

Namun demikian ujian besar krisis kewangan 1997-1998 telah membunuh ramai trader, investor dan remisier yang melabur dalam pasaran saham. Pasaran yang telah mencecah 1300 mata jatuh menjunam hingga ke paras 268 mata pada satu ketika. Ia menyebabkan ramai yang kecundang tak kiralah betapa expertnya mereka dalam pasaran saham. Pada ketika ini separuh telah meninggalkan pasaran mencari kerjaya yang lain mahupun kembali kepada kerja asal mereka sebelum mereka menjadi remisier. Ada yang kembali kerja bank, kilang, menjadi pekebun kelapa sawit, nangka dan pisang, membuka perniagaan, memandu teksi, menjual insuran dan saham amanah serta banyak lagi.

Kemudian pasaran saham berada dalam momentum menaik selepas tahun 1999. Menjelang tahun 2006 dalam pasaran yang menaik ramai pelabur-pelabur baru dan lama telah kembali ke pasaran saham.

Tanpa disedari krisis tahun 2007-2008 disebabkan oleh isu Sub Prime di Amerika Syarikat sekali lagi membawa impak yang serupa. Pasaran jatuh dari 1300 mata hingga ke 800 mata. Pasaran hilang 500 mata pada masa ini. Kali ini lebih ramai trader, remisier dan investor yang mengambil keputusan berundur memandangkan kerugian yang tidak lagi dapat ditanggung. Sejak tahun 1996 itu hinggalah kini jumlah remisier dan dealer, ini termasuklah investor dan trader telah serik lantas meninggalkan pasaran. Yang masih tinggal boleh dikira dengan jari dan FY adalah salah seorang yang tinggal dan masih tidak berputus asa.

FY masih di sini kerana memegang sebuah kisah motivasi 95% pendaki gunung kecundang tanpa mereka sedari sebenarnya mereka hanya tinggal 5% sahaja pendakian yang perlu dijalankan. Kepada 5% yang meneruskan perjalanan maka mereka akan sampai ke puncak jaya. Itu FY percaya dengan penuh keyakinan.

Ada dua sebab kenapa segelintir dari kami masih berada di sini. Pertamanya kerana terpaksa. Terpaksa meneruskan kerjaya kerana faktor umur yang tidak mengizinkan kami ke tempat lain. Sebab yang satu lagi ialah ganjaran besar yang dikecapi oleh mereka yang tidak berputus asa ini hasil dari ketabahan selama ini. Alhamdulillah FY adalah salah seorang yang berada dalam rangkuman yang kedua ini.

Terus terang pelaburan saham bukanlah mudah. Ia sukar dan terlalu banyak yang perlu dipelajari dan dilalui sebelum kita akan dapat memahami apatah lagi menguasainya. Setahun dua sebenarnya masih belum memadai. Bayangkanlah para remisier Cina yang handal ramai juga kecundang inikan pula kita pelabur baru dalam pasaran.

Percayalah apa yang FY katakan ini. Sejarah akan berulang dan ramai pelabur baru dalam yang memasuki pasaran dewasa ini akan mengalami semua ini. Apapun FY percaya belajar dan mengambil iktibar dari pengalaman orang lain juga adalah salah satu jalan pintas untuk belajar. Apa yang penting ialah untuk belajar dengan orang yang betul. Kalau tidak dugaan kerugian dalam pasaran saham ini bakal menjadi makanan ruji diri anda.

Oleh itu berhati-hatilah. Sebagai penutup artikel ini FY ingin mengambil kata-kata seorang sahabat seorang pelabur berpengalaman – “Be humble to the market or the market will humbled you.”

Sekian dulu.



FY
Remisier
Kenanga Investment Bank Berhad
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia


Perkhidmatan kami ;
  • Seminar Super Investor
  • Seminar SuperTech Investor
  • Seminar SuperTrader
  • Membuka akaun CDS
  • Memulakan portfolio pelaburan saham
  • Ebook - Panduan Lengkap Memohon IPO di MITI
Follow FY di Twitter – twitter.com/afaizalyusup
Add FY di Facebook - www.facebook.com/faizalyusupii

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.