BERHATI-HATILAH DENGAN REMISIER PENIPU
Manusia selalu merasakan yang diri mereka serba sempurna. Atas rasa kesempurnaan inilah mereka menghukum dan menilai orang lain. Mengatakan itu dan ini. Mereka berkata mereka beriman kepada Allah Taala tapi pada masa yang sama mereka punya perasaan hasad dengki dan irihati bilamana melihat orang lain berjaya. Hakikatnya mereka masih tidak dapat mengalahkan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati.
Hari ini FY mahu bercerita dan kepada mereka yang membaca artikel ini dan terasa pedasnya, minta maaflah. Telah kian lama FY beri peluang untuk anda menggunakan akal untuk berfikir dan hari ini FY akan menggunakan perantara blog ini untuk bersuara dan memberi teguran.
Untuk pengetahuan anda semua, kehadiran FY dengan niat Lillahitaala untuk membantu meningkatkan ekonomi ummah tidak disenangi oleh banyak pihak. Pihak yang lebih senior yang kononnya lebih lama berada dalam pasaran. Kenapa mereka tidak berpuas hati dengan FY? Kata mereka FY menutup periuk nasi mereka. FY menutup periuk nasi orang lain? Ish! Siapalah FY yang berkuasa untuk berbuat demikian? FY bukan Tuhan. FY hanya manusia biasa yang tidak punya apa-apa daya upaya melainkan dengan izin Allah Taala.
Dalam pasaran saham, sebenarnya tak semua remisier yang punya sikap yang baik, tak semua remisier yang punya etika yang baik, tak semua remisier yang punya akhlak yang baik.
· Ada remisier yang mata duitan.
· Ada remisier yang sanggup menipu untuk mengenakan para pelanggannya.
· Ada remisier mengenakan caj 3 sen, 5 sen, 10 sen, 50% kepada saham MITI yang mereka jamin dapat. Walhal kalau pelanggan itu punya cukup dokumen maka saham MITI itu pastikan akan ditawarkan kepada mereka.
· Ada remisier yang sanggup menipu dokumen pelanggan untuk mendapatkan saham MITI.
· Ada remisier yang sanggup memberi rasuah dalam pelbagai bentuk untuk mendapatkan saham MITI.
· Ada remisier yang sanggup menipu cop pegawai bank, cop pegawai Tabung Haji, Cop Pegawai PNB untuk menipu dokumen yang dihantar ke MITI.
· Tak cukup dengan ini mereka memaksa pelanggan untuk mengambil pinjaman share financing yang menguntungkan mereka.
· Kemudian selepas menjual saham mereka menahan cek pelanggan lantas mengenakan pula 10% hingga 25% lagi dalam bentuk profit sharing.
· Hingga ada yang mengadu pada FY keuntungan mereka yang berjumlah RM30,000.00 hanya tinggal RM5,000.00. Selebihnya diambil oleh Remisier tersebut. Semua ini berlaku kerana mereka tidak tahu dan tak punya ilmu dalam pasaran saham.
· Ada remisier yang menyalahgunakan akaun saham pelanggan.
· Ada remisier yang menipu mengatakan mereka punya kelayakan MSTA dan kelayakan lain hanya untuk mengaburi mata para pelabur walhal mereka tak punyapun kelayakan tersebut.
· dan banyak lagi.
Kepada anda para pelabur baru berhati-hatilah. Apa yang FY paparkan ini adalah kisah benar. Pada FY cukup-cukuplah. Mereka-mereka ini harus dibenteras. Mereka makan duit haram dengan cara memanipulasi orang yang tidak tahu. Industri ini mesti dibersihkan dari orang-orang yang seperti ini. Cukup-cukuplah dengan penipuan ini.
Namun demikian tak semua remisier begitu. Hanya segelintir kecil dari mereka. Kebanyakan yang FY kenal punya hati yang baik dan menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai remisier dengan telus. Kepada mereka ini FY ucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda. Jesteru kepada mereka yang FY sebut di atas ini berhati-hatilah. Setiap pergerakan anda FY akan perhatikan. Percayalah yang anda takkan selamat sekiranya anda terus menjalankan kerja-kerja maksiat itu.
FY
www.faizalyusup.net
PS – Kepada pelabur yang pernah ditipu anda boleh membuat
aduan dengan membuat panggilan telefon ke Jabatan Hal Ehwal Pelabur, Suruhanjaya
Sekuriti - 03 6204 8999. Mereka akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.