Saturday, December 2, 2017

SKIM CEPAT KAYAP

SKIM CEPAT KAYAP
MENGELAKKAN KERUGIAN SATU KEUNTUNGAN

Image result for skim cepat kaya

Sejak dulu lagi sejak zaman Pak Man Telo dengan labu peramnya orang kita dah mula melabur dan akhirnya terkena. Duit yang begitu sukar dicari dan ditabung hilang entah kemana. Sejak itu skim cepat kayap ini tumbuh bagai cendawan lepas hujan dek kerakusan operatornya memanipulasi khalayak ramai demi mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit. Lepas satu satu lagi tumbuh... Perniagaan emas, duit alam maya, hartanah, pokok gaharu, ikan, fund itu fund in dalam pelbagai bentuk dan jenis.


Cirinya sama. Kutip duit, cari orang, bagi pulangan yang lumayan pada jangkamasa yang singkat dan adakalanya pulangan tersebut dijamin!

Satu kutip duit. Di Malaysia ada undang-undang nak kutip duit kena ada lesen. Undang-undang BAFIA atau Banking and Financial Act contohnya memberikan lesen untuk Bank mengutip duit.

Dua cari orang. Persoalan di sini kalau anda boleh kaya seorang kenapa pulak nak cari orang? Samalah seperti cerita P Ramlee bila si Sudin beli batu hikmat yang boleh buat macam-macam. Kalau boleh minta macam-macam apasal si penjual dok pi jual batu tu? Bukankah dia boleh jadi kaya dengan keajaiban batu hikmat itu? Samalah juga dengan operator Skim Cepat Kayap ini.

Tiga pulangan lumayan, jangkamasa singkat. Pokok pun ambil masa untuk ditanam, dibaja, diairi sebelum ia menghasilkan buah. Perniagaan dan pelaburan juga begitu.

Empat pulangan dijamin, guaranteed katanya. Alamak ini dari hukum Islam dah kantoi... Mana boleh guaranteed return beb.

Modus operandinya mudah. Datang pakai jam mahal serta kereta mewah bagi mengaburi mata pelabur. Ia pula berbentuk piramid. Orang yang bawah yang baru masuk akan membayar orang yang di atas. Bola mula berputar yang bawah lebih ramai akan terus terusan membayar yang di atas sehingga bola itu terhenti. Tatkala itu si penipu sudahpun berlari. Laman web ditutup. Kerajaan mengharamkan katanya. Dia pun kena tipu dengan syt lain, dia hanya agen jawabnya serta pelbagai alasan lagi untuk tidak memulangkan wang pelaburan peserta.

Modus operandi lain pula sewa beberapa bilik di mekah mahupun madinah, sewa tanah gaharu, sewa kolam ikan, beli beberapa ketul emas. Kemudian tunjukkan si A bilik yang sama yang telah ditunjukkan kepada B, C, D, E, F dan seribu pelabur yang lain dan mengatakan yang itulah bilik pelaburan anda yang akan mendatangkan untung dengan sewanya mahupun hasilnya. Seorang kutip RM10k kena 1000 orang tak ke 10 juta jadinya! Nak meyakinkan? Bagilah agreement apa bagai... Tunjuklah menteri dan artis dah masuk dan jadi duta produk, tunjuklah sijil sah pensyarikatan dan sebagainya bagi tujuan menyakinkan pelabur.

Manusia sebenarnya memang ada sifat tamak built in dalam dirinya. Hanya dengan kekuatan akal dan ilmu yang dapat menyelamatkan kita dari terjebak dengan semua ini. Financial literacy amat penting dalam hal ini.

Selagi tamak, selagi nak cepat kaya, selagi kita tak ikut hukum hakam, selagi kita tak punya ilmu selagi itulah kita akan ditipu.

Masalahnya bila duit sudah masuk ke dalam skim ini maka perangkap sudah mengena. Ini kerana bila mereka tak bayar apa yang mereka janjikan anda tak boleh repot polis kerana kalau anda repot mereka memberi amaran yang pelaburan anda akan hangus! Itulah sebabnya lepas bertahun terkena barulah keluar repot polis, keluar suratkhabar dan TV yang anda ditipu sedangkan operator dah lama lari...

Mereka ini takkan berhenti, mereka akan terus terusan mencari jalan untuk menipu duit kita. Kitalah yang kena bersiap sedia dengan ilmu penuh di dada bagi menangkis semua ini. Mereka mencari apa perkara yang panas ketika waktu itu untuk diskimkan. Baru-baru ini emas, la ni crytocurrency, lepas tu saham online di dow jones agaknya tak lama lagi skim durian musang king pulak...

Nak melabur carilah instrumen pelaburan yang disahkan kerajaan. Carilah yang punya lesen mengutip duit. Ketatkan dompet anda pasang mangga dua tiga... Tak tahu tanya pada mereka yang pakar.

Di Malaysia ini untuk mengambil duit dari para pelabur, syt itu perlu ada lesen di bawah Akta Banking and Financial Act atau BAFIA. Hanya Syt yang diberi lesen oleh Bank Negara Malaysia yang boleh berbuat demikian. Ini kerana untuk mendapatkan lesen tersebut Bank Negara Malaysia perlu menyiasat semua perkara berkenaan syt tersebut sebelum lesen diberikan.

Jadi tanya mereka ; anda punya lesen untuk mengutip duit di bawah BAFIA Act atau tidak? Kalau tidak lupakan sahaja!

Kalau anda lihat semua Agen Insuran, Unit Trust, Dealer dan Remisier perlu mengambil peperiksaan dan mereka semuanya berlesen sebelum boleh mengutip duit dari pelabur.

Bukankah lebih baik laburkan duit anda dalam saham-saham berpotensi di Bursa Malaysia! Cari Faizal Yusup aka FY. FY boleh bantu anda melabur duit anda di tempat yang betul!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.