Krisis atau kegawatan ekonomi adalah perkataan yang sering kali kita dengar, sama ada di televisyen, radio dan juga akhbar. Pelbagai kesan krisis ini, sama ada di peringkat global ataupun tempatan yang telah kita ketahui. Bagaimana pula dengan pelaburan? Adakah kemelesetan ekonomi yang berlaku ini memberikan kesan kepada pelaburan anda. Dalam artikel ini, kita akan mengupas cara-cara yang boleh dilakukan untuk menghadapi situasi sukar seperti ini.
Bagaimana menghadapi krisis ini?
Ramai orang yang bertanya soalan ini atau soalan-soalan yang seumpamanya. Di sini, kami senaraikan antara langkah-langkah yang boleh diambil dan ianya berada dalam kawalan kita dalam menempuh kegawatan terbabit.
Urus perbelanjaan anda dengan bijak
Sebagai permulaan, kaji semula perbelanjaan anda dan kenal pasti perbelanjaan tetap dan boleh ubah. Bagi perbelanjaan boleh ubah seperti makan di tempat kesukaan atau membeli belah, anda boleh mengurangkan atau mengehadkan kekerapannya dan apa yang diperlukan adalah sedikit disiplin dan perubahan kepada aktiviti sosial anda.
Bagaimana pula dengan perbelanjaan tetap? Ia adalah perbelanjaan yang tidak boleh dielak atau dikurangkan terus untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan anda. Perkara yang selalunya dalam kategori ini melibatkan perbelanjaan besar seperti:
• Pembiayaan rumah, kenderaan atau pinjaman pendidikan
• Pembayaran insurans
• Bil-bil utiliti dan kontrak perkhidmatan seperti air, elektrik, telefon dan Internet.
Walaupun anda tidak boleh menghapuskan perbelanjaan sebegini, ada cara-cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbelanjaan dalam kategori ini.
• Jadilah pengguna bijak!
Semasa kegawatan ekonomi, Kerajaan biasanya akan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi seperti mengurangkan kadar faedah untuk menggalakkan orang ramai berbelanja. Anda boleh mendapat manfaat daripada pakej ini dengan mencari kadar yang lebih murah dan tawaran yang lebih baik untuk membiayai semula gadai janji yang ada. Terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan dan anda hanya perlu memilih tawaran yang terbaik, iaitu yang boleh menjimatkan kadar faedah yang dibayar. Langkah ini semestinya boleh menjimatkan wang anda dalam jangka masa panjang.
Begitu juga dengan perkara-perkara lain. Dalam suasana perniagaan yang lebih kompetitif, akan terdapat pelbagai promosi dan pakej istimewa di pasaran. Anda mesti pandai menyesuaikan diri untuk menjadi pengguna bijak. Jadikan tabiat mencari tawaran terbaik sebagai suatu amalan dan pastikan setiap ringgit yang dibelanjakan berbaloi.
• Kawal perbelanjaan anda
Ketika cuba mengurangkan kadar faedah yang dibayar dan memberi lebih nilai untuk wang, anda sepatutnya tidak lagi berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Segala usaha anda dalam berjimat-cermat akan menjadi tidak berguna jika wang tunai berkurangan dan komitmen lain bertambah. Jadi, cuba kawal perbelanjaan anda. Ingat! Hanya berbelanja untuk keperluan dan tangguhkan apa yang boleh.
• Hadkan Penggunaan kad kredit
Jika anda gemar berbelanja menggunakan kad kredit tanpa sebarang rasa bersalah, sudah tiba masanya sifat tersebut dikikis. Dengan kebanjiran pelbagai jenis kad kredit di pasaran, sudah menjadi lumrah untuk seseorang memiliki banyak kad kredit. Kad kredit memang memberi kemudahan, namun ia boleh menyusahkan jika anda tidak berdisiplin apabila menggunakannya. Dengan kad kredit, anda sebenarnya berbelanja menggunakan duit yang anda tidak ada pada masa ini. Lagi banyak anda berbelanja dan berhutang dengan bank, lagi tinggi bayaran dikenakan selepas dicampur dengan bayaran kadar faedah dan caj-caj lain.
Oleh sebab itu, bagi menguruskan perbelanjaan anda dengan lebih baik, hadkan penggunaan kad kredit kepada satu atau dua kad sahaja serta sentiasa awasi baki bulanan yang ada. Elakkan hutang kad kredit anda daripada terus bertambah dan jika boleh, jelaskan kesemua hutang kad kredit setiap bulan.
Kegagalan untuk menyelesaikan hutang kad kredit boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk. Jika anda melihat kepada bilangan orang yang telah muflis di Malaysia, anda akan dapati jumlah tersebut agak membimbangkan, tambahan pula ramai daripadanya terdiri daripada golongan muda.
• Bina simpanan duit anda
Apabila anda telah mampu menguruskan wang, besar kemungkinan anda mempunyai lebihan wang tunai. Gunakan lebihan ini untuk membina simpanan. Simpanan ini hendaklah mampu bertahan selama 6 bulan untuk menanggung perbelanjaan kehidupan seharian. Jika anda diberhentikan kerja baru-baru ini, jangan gunakan pampasan tersebut untuk mengubah suai rumah atau membeli kereta baru. Ia adalah simpanan anda. Simpan untuk waktu-waktu kecemasan. Jika anda mempunyai lebihan daripada simpanan, anda boleh ke langkah seterusnya.
• Cari peluang-peluang pelaburan yang ada
“Inside of every problem lies an opportunity” - Robert Kiyosaki
Kebanyakan orang gagal untuk melihat peluang yang ada daripada sesuatu krisis. Sebenarnya, ketika waktu yang tidak menentu seperti inilah terdapat peluang-peluang yang baik dalam pelaburan, tidak kira dalam pasaran saham, hartanah atau produk pelaburan yang lain. Oleh itu, jika anda mempunyai lebihan wang, pelajari kaedah dan cari peluang-peluang pelaburan yang ada dengan mengambil kira tahap toleransi risiko anda.
Kesimpulannya, dalam keadaan krisis sebegini, anda perlu berhati-hati dengan keputusan pelaburan yang dibuat terutamanya apabila anda melabur dengan wang hasil titik peluh dan penat lelah anda. Dengan perancangan dan disiplin diri, anda mampu untuk mengharungi apa juga keadaan ekonomi.
SECURITIES INDUSTRY DEVELOPMENT CORPORATION (SIDC), peneraju bidang pendidikan, latihan dan sumber maklumat berkaitan pasaran modal di ASEAN, adalah cabang pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 1994 dan diperbadankan pada 2007.
Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.