Blog ini hanya untuk tujuan pendidikan sahaja dan kami tidak memberi sebarang saranan jual beli saham. Tindakan urusniaga saham adalah atas tanggungjawab anda sendiri dan kami tak bertanggungjawab atas apa-apa kerugian. Sekian. Harap maklum.
Sunday, January 19, 2014
Sunday, January 12, 2014
PERIHAL TAWARAN IPO DI MITI
Assalammualaikum...
Artikel kali ini FY tulis hanya sebagai satu notis memaklumkan yang Ebook IPO MITI SUPER INVESTOR diberhentikan penjualannya buat masa ini untuk dikemaskini. Ini kerana sejak ebook itu ditulis sebanyak 2 perubahan telah berlaku di MITI dari permohonan melalui internet kepada pemohonan secara manual dan sekarang kembali kepada permohonan melalui internet tetapi dengan cara dan kaedah yang lain pula. Setakat ini kaedah yang terbaru ini belum lagi diuji memandangkan tiada IPO baru ditawarkan di MITI jadi agak sukar untuk FY mendapatkan prosedurnya secara tepat. Sabar yer...
Kepada yang tidak tahu dan masih baru dalam pelaburan saham, dahulu pelaburan dan penglibatan Bumiputera di MITI ini sangat rendah iaitu antara 200 hingga 400 permohonan sahaja, namun di penghujung tahun 2010 bila FY mendapat tahu ia dibuka kepada pelabur Runcit Bumiputera lantas menulisnya dalam blog ini ia telah meningkat dan terus meningkat hingga ketahap 16000 permohonan semasa Felda Global Ventures ditawarkan tak lama dahulu. Blog ini mahupun Ebook IPO MITI sebenarnya telah secara tak langsung meningkatkan permohonan IPO di MITI.
Kemudian kaedah permohonan melalui internet ini telah disalahguna. Ketika permohonan IPO Gas Malaysia pihak MITI telah menemui 500 penipuan. Penipuan dalam bentuk dokumentasi, pemalsuan penyata kewangan, pemalsuan cop pegawai bank dan banyak lagi. Semasa tawaran IHH dan Astro perkara yang sama berlaku. Ada pelabur yang menghubungi FY dan mengatakan Kad Pengenalan mereka digunakan untuk memohon IPO di MITI (tanpa perlukan penyata kewangan kerana sindiket ini boleh memalsukan penyata kewangan ) dan kemudian Kad Pengenalan itu digunakan untuk mendapatkan pinjaman bank (share financing) bagi membayar peruntukan saham dari MITI itu.
Terbaru sindiket-sindiket ini mencari para pesara yang baru pencen yang baru dapat ganjaran gratuiti mahupun baru mengeluarkan duit EPF untuk dijadikan mangsa penipuan mereka.
Sebenarnya FY tahu bagaimana modus operandi mereka-mereka ini jadi FY harap anda pelabur di luar sana berhati-hatilah kerana anda mungkin menjadi mangsa mereka-mereka ini disebabkan anda tidak punya ilmu mengenainya. Sebelum mengeluarkan duit dari poket anda pastikan anda tahu kemana duit itu akan pergi dan bagaimana ia akan kembali kepada anda melalui saluran yang betul. Ini kerana di zaman ini penipuan begitu banyak berleluasa di luar sana hanya dengan tujuan untuk mendapatkan duit hasil titik peluh anda.
Kepada pihak MITI, andai anda membaca artikel ini FY ingin mengutarakan beberapa isu ;
- Pertamanya kaedah terkini permohonan melalui internet ini sebenarnya membebankan pelabur luar bandar kerana mereka tidak punya kemudahan internet.
- Keduanya mereka juga tidak punya ilmu IT. Untuk scan IC lantas menghantarnya melalui email dan sebagainya juga bukanlah satu perkara mudah buat mereka.
- Ketiganya tawaran yang dibuka hanya selama 2 hari contohnya IPO Caring tak lama dahulu tidak memadai untuk pelabur Bumiputera di luar bandar dan pelabur di Sabah dan Sarawak untuk memohonnya. Mereka perlukan masa lebih kurang seminggu untuk menyiapkan dokumen dan menghantarnya kepada pihak MITI.
- Begitu juga dengan penerimaan tawaran dan membuat pembayaran kepada Bank Penasihat. Masa yang mencukupi diperlukan untuk mereka berbuat demikian.
FY harap sesiapa yang membaca artikel ini boleh membawa perjuangan yang sama demi kebaikan semua pelabur Bumiputera yang kebanyakannya beragama Islam. Jom kita bangunkan ekonomi Ummah! Semoga pihak MITI mendengar saranan ini dan membuat perubahan bagi membantu para pelabur yang dekat dan jauh.
FY lebih suka SEJUTA saham diperuntukan kepada SEJUTA pelabur dan mendapat manfaatnya daripada SEJUTA saham diperuntukan kepada SATU pelabur.
Kepada newbie dan beginner dalam pasaran pula, FY nasihatkan janganlah buat apa-apa andaian mengenai pelaburan saham ini tanpa mendapatkan faktanya yang betul. Buat siasatan dan kajian atau tanya kepada pelabur lama. InsyaAllah mereka boleh membantu memberikan insights kepada perkara yang mungkin anda belum tahu.
Sekian dulu.
FY
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia
016 666 7430
PS - FY ada mengadakan Seminar Saham Super Investor pada 18 Januari ini di Bangunan Lembaga Getah Asli. Disebabkan website kami menghadapi masalah teknikal, hubungi Puan Azila Ismail di talian 012-2511755 untuk tujuan pendaftaran. Terima kasih.
Wednesday, January 8, 2014
Pelbagai Kaedah Menjana Keuntungan Dalam Pasaran Saham
Assalamualaikum.
Dalam pelaburan saham ini sebenarnya terdapat banyak strategi yang boleh digunapakai bagi menjana keuntungan. Ada yang sifatnya jangkamasa pendek dan ada pula yang untuk satu jangkamasa sederhana mahupun panjang. Ada yang menggunakan kaedah analisa kewangan dan ada juga yang menggunakan analisa teknikal melalui pembacaan carta. Ia sebenarnya berdasarkan kepakaran seseorang itu.
Dalam hal ini lain trader lainlah kepakarannya. Trader Analisa Teknikal juga punya variasi dan cara yang berbeza. Lain trader lain resepinya dalam pemilihan indikator-indikator pasaran mahupun time frame yang mereka pilih.
Ada trader yang memilih untuk trade hanya setengah jam pertama dan setengah jam terakhir pasaran, ada trader yang menggunakan sistem 1,2,3 dalam membaca carta, ada yang menggunakan kaedah scalping kaedah yang sering digunakanpara PDT iaitu masuk dan keluar dalam volume yang banyak hanya pada satu bit pasaran bagi menjana keuntungan, ada pula yang menggunakan software-software tertentu bagi membuat pemilihan dan pembelian saham dan banyak lagi.
Kemudian ada pula trader yang tidak menggunakan teknik Analisa Teknikal sebaliknya membeli saham pada hari T+4 dengan menunggu pelabur-pelabur kontra menjual saham-saham yang mereka tidak membuat settlement. Seterusnya ada yang menggunakan strategi buy on rumors and sell on news. Malah ada juga yang menanti signal dalam pasaran yang diberikan oleh para sindiket sepertimana contoh di bawah ini.
Strategi lain ialah strategi Dollar Cost Averaging iaitu strategi menurunkan purata harga saham dengan pembelian berdasarkan nilai duit yang sama secara gradual. Strategi ini sering digunakan pakai oleh Saham Amanah mahupun pelabur yang poketnya dalam. Strategi Chanelling pula digunakan untuk menjana keuntungan berkali-kali dengan satu saham yang serupa.
Strategi Switching pula digunakan bagi menukar satu saham kepada satu saham yang lain bila saham yang dibeli untuk pergerakannya perlahan dan mengambil masa yang lama.
Mencari resepi yang terbaik dan sesuai dengan anda juga merupakan satu cabaran sebenarnya. Ini kerana ada trader yang bekerja dan tidak dapat melihat pasaran pada setiap masa jadi anda sering terlambat membeli atau menjual saham bagi menjana keuntungan.
Kepada yang ingin tahu, FY menggunakan kombinasi pelbagai strategi dalam pasaran saham bagi menjana keuntungan kepada para pelabur yang melabur dengan FY. Ini kerana FY melihat dan memerhatikan pasaran setiap masa setiap hari jadi kebanyakan strategi ini boleh digunapakai.
Dalam hal ini carilah mentor yang boleh mengajarkan strategi yang sesuai buat diri anda. Sesuai dengan masa terluang anda, sesuai dengan modal pelaburan anda, sesuai dengan risiko yang boleh anda ambil dan sebagainya.
Walau apapun strategi yang anda gunakan FY doakan anda dapat menjana keuntungan dan meningkatkan pendapatan anda yang mana secara tak langsung meningkatkan ekonomi ummah secara keseluruhannya. Mengetahui hakikat itu sudah cukup menggembirakan FY.
Sekian dahulu.
Semoga pengisian ini membawa manfaat kepada ada.
FY
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia
PS - Andai anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai rahsia menjana keuntungan di Bursa Malaysia ini jemputlah datang ke Seminar Super Investor bersama FY pada 18 Januari ini. Layari www.seminarsaham.com.my untuk mendaftar.
Tuesday, January 7, 2014
Senarai IPO 2014
Assalamualaikum...
Berikut ini ialah beberapa saham IPO besar yang bakal menemui kita di tahun 2014. Alhamdulillah tahun 2013 merupakan tahun yang baik bagi IPO memandangkan boleh dikatakan semua saham yang disenaraikan membawa keuntungan kepada pelaburnya.
InsyaAllah FY percaya tahun ini juga kita akan menyaksikan perkara yang sama. Jadi persiapkanlah modal anda untuk membeli saham-saham IPO ini baik melalui Private Placement, IPO Awam mahupun IPO di MITI.
Untuk permohonan IPO di MITI nampaknya pihak MITI telah menukar kaedahnya dan InsyaAllah FY akan berkongsi di sini akan prosedurnya nanti. Apapun scan IC berwarna yang jelas dan daftarlah di saham.online.miti.gov sebagai pelabur di MITI terlebih dahulu sebelum langkah yang seterusnya untuk memohon saham-saham IPO yang bakal mendatang.
Disamping ini juga ada lagi beberapa saham-saham lain contohnya ECONPILE BERHAD yang akan disenaraikan tak lama lagi, BOUSTED PELANTATION, RESORT BERHAD, MOL GLOBAL, WESTSTAR, RANHILL ENERGY AND RESORCES juga beberapa saham SPAC contohnya anak syarikat DAYA MATERIALS iaitu REACH ENERGY yang bakal menjadikan jumlah penyenaraian 20 IPO baru yang bakal meningkatkan pasaran modal sebanyak RM20 Billion. Ini merupakan satu perkembangan yang sihat dalam Bursa Malaysia yang mana merupakan petunjuk yang syarikat-syatrikat di Malaysia berkembang dan membesar dengan baiknya dalam ekosistem ekonomi yang kondusif.
Sekian dahulu...
FY
Hidup kena cool,
Hati kena mulia...
Artikel dikemaskini pada 26 Januari 2014
PENJELASAN FY
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda semua dalam lindungan Allah Taala hendakNya.
Nampaknya catatan FY semalam menimbulkan banyak kontroversi, banyak komen yang membina mahupun yang mengkritik. Bagus juga tu sebab ini bermakna blog FY ini ada pembacanya. Alhamdulillah.
Bagusnya bukan apa. Sama seperti kejadian 911 maka ramai orang kafir yang pergi mencari Al Quran demi untuk memahami Islam dan akhirnya memeluk Islam. Jadi dalam hal ini InsyaAllah nanti ramailah yang mencari siapa FY dan akhirnya akan tahu kisah sebenarnya. Ini kerana manusia sifatnya tak puas hati sehinggalah mereka bertemu dengan jawapannya. Terus terang semua ini merupakan satu perkembangan yang bagus.
Bagi yang nak kenal FY lebih lanjut, FY mudah dicari dalam internet malah dalam negara ini. Anda boleh membaca blog ini dari mula kalau anda jenis rajin membacalah. Iqra’ – bacalah. Itu merupakan antara saranan awal Allah Taala. Jadi bacalah yer. Tak kenal maka tak cinta kata orang tua-tua kita.
Kemudian anda juga boleh mencari FY di youtube. FY ada lebih kurang 65 video yang telah dimuat turun di youtube. Cari sahaja kata kunci Faizal Yusup. Kalau anda seorang yang malas membaca maka di youtube anda tak perlu membaca, hanya klik dan dengar. Harapan FY anda mendengarnya dengan hati yang terbuka dan bersifat positif.
Kalau masih tak jumpa anda juga boleh membeli buku-buku yang pernah FY tulis. Ada 11 semuanya. Buku motivasi ada 4. Anda yang Baru, Berubah Sebelum Rebah, Keluar dari Tempurung adalah antara tajuk-tajuk yang boleh anda beli. Tak apa kalau tak ada duit sebab FY ada berikan buku karya FY secara PERCUMA di www.manrempit.blogspot.com.
FY rasa lebih baik orang yang memberi komen itu mengenali FY terlebih dahulu jadi budibicara mereka akan lebih bersifat akal dari nafsu. Main tembak jer tanpa siasatan yang mendalam adalah sesuatu yang tidak adil rasanya. Apapun itu hak anda.
Memandangkan blog ini rumah FY jadi sebenarnya FY boleh delete sahaja komen-komen yang negatif yang bersifat biawak terjelir bak kata salah seoang pengomen itu tapi tak apalah FY bersangka baik dan menerima teguran-teguran itu dengan hati yang terbuka. Lagipun bukan kudis mahupun luka pun FY dengan teguran-teguran yang membina mahupun tidak itu. Pengomen hanyalah makhluk Allah Taala perantara dugaan. Jadi terima kasih FY ucapkan kerana mengomen.
Banyak juga komen dari orang-rang yang tanpa nama mahupun yang punya nama samaran. Biasalah orang melayu kita memang pemalu dan mungkin juga kurang berkeyakinan untuk ke depan. Jadi FY rasa tak perlulah FY jawab komen-komen tetamu-tetamu yang tak diundang itu. Hehehe...
Apapun di awal penglibatan FY dalam bidang saham ini FY juga banyak melakukan kesilapan demi kesilapan. Belajar dari sifu yang salah lantas membawa kepada kerugian demi kerugian beratus ribu ringgit di tahun 1997, di tahun 2007 dahulu disebabkan merudumnya pasaran saham namun itu semua sebahagian dari pembelajaran untuk FY bangkit dan memperbaiki diri. Belajar dan terus belajar. FY hanya manusia biasa, bukan Tuhan malah bukan malaikat. Kalau difikirkan tiada anak kecil yang lahir boleh berdiri dan berjalan tanpa jatuh malah luka. Itu fitrah kehidupan. Kita jatuh namun apa yang penting ialah untuk kita bangkit dan cuba lagi. Bertatih hingga kita boleh berjalan dan berlari. Itupun kita yang dewasa ini juga sekali sekala tergelincir dan jatuh. Sekali lagi FY tegaskan apa yang penting ialah untuk kita bingkas bangkit serta ambil pelajaran dari kejatuhan itu.
Pelajaran-pelajaran inilah yang menyebabkan kita matang dan faham bidang saham ini. Lantas kefahaman dan pelajaran-pelajaran dari pengalaman inilah yang menyebabkan FY keluar ke khalayak umum menjalankan seminar bagi menyampaikan apa yang FY tahu kepada pelabur-pelabur yang ada di luar sana agar tidak melakukan kesilapan yang serupa. Kepada yang berhati terbuka bukankah lebih baik belajar dan mengambil pengalaman dari orang yang telah merasai semua ini? Kalau FY katakan ada lubang di sesuatu tempat bukankah lebih baik tuan-tuan dan puan-puan elak dari terjerumus di dalamnya. Apapun adakalanya manusia lebih suka untuk melalui pengalaman terjatuh dalam lubang itu sendiri dan merasa sakitnya, itu terpulanglah kepada pihak anda. PILIHAN DI TANGAN ANDA.
FY keluar dan menjalankan seminar setelah mempelajari dan memahami selok belok pasaran saham serta telah punya ilmu pengetahuan yang memadai disamping pengalaman yang berharga untuk dikongsikan. Mungkin umpama mangga yang cantik isinya tapi tak elok kulit luarnya. Dibandingkan dengan mangga cantik kulit luarnya tapi busuk dan berulat isinya. Kalau itu yang anda ingin pilih dan makan, sekali lagi PILIHAN DI TANGAN ANDA.
Seterusnya berbalik kepada isu soalan-soalan yang FY sertakan dalam artikel yang lalu.Soalan soalan itu adalah soalan basic pelaburan saham yang diketahui jawapannya oleh para dealer dan remisier. Ia umpama soalan basic hukum hakam ugama.
Contohnya
· Apakah sebutan Dua kalimah syahadah
· Bagaimana membaca Al Fatihah
· Berapakah Rukun Iman?
· Berapakah Rukun Islam?
· Apakah tugas Malaikat Mikail?
· Berapa kali kita wajib solat sehari semalam?
· Berapa orangkah kita boleh kahwin dalam Islam?
· Bolehkah kita makan babi?
· Kalau kita jumpa duit di tengah jalan bolehkah kita mengambilnya dan mengatakan yangia hak kita?
· Bolehkah kita mencuri?
· Bolehkah kita merogol dan sebagainya?
Kalau seorang ahli ugama nampak seorang ustaz yang menjalankan ajaran sesat yang megatakan boleh kahwin lebih dari empat, boleh minum arak, boleh mengambil duit hak orang lain dan sebagainya takkan dia berdiam diri sahaja?
Iman di tahap rendah kita boleh tak redha dalam hati, iman tinggi sikit bersuara menggunakan lidah, iman yang tertinggi ialah untuk mengambil tindakan.
Sama dengan analogi di atas itu bila FY melihat dan mendengar ;
· Ada mentor yang mengajak orang ramai MAIN SAHAM
· Ada mentor yang mengatakan kita boleh dapat loan dari kerajaan untuk membeli saham MITI
· Ada pelabur-pelabur yang merungut telah membayar sehingga RM13,000 untuk seminar-seminar saham tetapi masih tak tahu apa-apa,
· Bila ada pelabur yang lesap duitnya RM100,000.00 selepas memberinya kepada mentor saham,
· Bila ada pelabur-pelabur yang hilang duitnya kerana melabur saham yang dinyah senarai atas saranan mentornya serta
· Banyak komplen serta rungutan lain yang FY terima hanya kerana FY mudah dicari bila di google,
Takkanlah FY hanya berdiam diri dan tak redha dalam hati? FY diamanahkan dengan jawatan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera, FY diamanahkan dengan blog saham yang dikunjungi ramai. Jadi pastinya FY akan bersuara. Terima atau tidak itu PILIHAN ANDA. Seorang Islam yang punya sifat BERSANGKA BAIK dalam hatinya pasti akan melihatnya dari sudut yang positif dan begitulah juga sebaliknya.
Apa yang FY tahu ialah hukuman Allah lebih berat kepada orang yang TAHU daripada orang yang TAK TAHU. Jadi FY yang tahu inilah yaang bertanggungjawab untuk menegur dan memberi nasihat.
Di sebalik semua ini FY yakin ada kebanyakan yang singgah di blog ini ada mengambil ilmu pengetahuan dari blog perantara bernama FY ini. Ambillah ia percuma. Anda sebenarnya tak perlu datang ke seminar saham FY pun kerana ilmu pengetahuan yang anda kehendaki dalam seminar itu ada dalam blog ini secara PERCUMA. Apa yang perlu anda lakukan ialah untuk membaca artikel-artikel di dalamnya.
Seminar saham FY itu ialah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman serta membantu para pelabur untuk menjadi pelabur yang bijak dan berhemah dengan sedikit bayaran. Ilmu pengetahuan motivasi dan ugama FY sampaikan secara percuma atas alasan Ilmu itu tak boleh diperdagangkan dengan nilai yang sedikit tak kiralah berapa harganya.
Beginilah, carilah orang yang kenal FY secara dekat atau pergilah tengok video-video FY di youtube. Kalau anda bertemu dengan pengisian ilmu pengetahuan yang selama ini umpama hijab yang menutupi akal fikiran dan hati anda, fikir semula. Fikir semula kenapa anda dijodohkan Allah dengan makhluk bernama FY ini... Fikir semula kenapa anda dijodohkan dengan blog ini.
Sekian buat kali ini.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Monday, January 6, 2014
Mencari Mentor Saham
Assalamualaikum...
Dewasa ini seminar saham tumbuh bagai cendawan di negara ini, malah mentor-mentor saham juga semakin lama semakin ramai kelihatan di sana sini. Ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana ia meramaikan jumlah pelabur runcit dalam pasaran disamping meningkatkan aktiviti pelaburan saham di negara ini dengan peningkatan yang ketara dalam jumlah dagangan harian.
Pada FY peningkatan ini merupakan satu perkara yang penting dalam lonjakan tamadun kerana ia secara tak langsung membuka mata dan menyedarkan ramai orang akan kelebihan melabur saham. Ini lambat laun akan secara tak langsung akan meningkatkan ekonomi keluarga juga bakal membawa kebaikan kepada pasaran Saham Bursa Malaysia.
Namun demikian semua ini perlu kita lihat dari sudut yang lebih objektif.
Tidak seperti negara yang maju, dalam tamadun kita yang masih muda lagi mentah ini, maka akan wujud banyak mentor-mentor saham mahupun seminar penipu yang bakal mengambil peluang dalam ruang yang semakin luas ini. Objektif mereka hanya satu – Untuk mendapatkan keuntungan kewangan dari orang ramai yang tidak tahu.
Antara petanda mentor penipu ini adalah ;
Kebanyakan mentor penipu ini tidak menunjukkan rupa dan nama mereka yang sebenar. Mereka mahu menjual seminar, ebook dan sebagainya dengan cara memanipulasi.
Ada yang setahun jagung dalam pasaran sudah menjadi mentor saham, ada yang bukan merupakan remisier mahupun dealer yang punya lesen yang sah dengan Suruhanjaya Sekuriti pun boleh menjadi mentor saham. Ada Internet Marketeer juga menjadi sifu saham.
Masalahnya mudah. Umpama ibu ketam mengajar anaknya berjalan makan anak muridnya juga akan berjalan senget. Sebenarnya ini akan membawa kepada kerugian demi kerugian buat pelabur-pelabur semua sekiranya mereka memasuki pasaran terbuka tanpa ilmu yang jitu. Bukan ekonomi ummah berkembang tetapi menguncup kerana ditipu oleh mentor serta seminar-seminar saham yang mahal. Kemudian bertambahlah rungutan mereka dengan kenaikan harga barang dewasa ini.
Untuk mengenali mentor –mentor saham penipu ini mudah sahaja. Cuba tanya mereka soalan-soalan begini ;
· Apa IPO
· Apa itu IPO di MITI dan bagaimana mendapatkannya
· Apa itu Pink Form
· Apa Itu Blue Form
· Apa itu ESOS
· Apa itu syarikat PN17
· Apa itu UMA
· Apa itu PDT
· Apa itu SPAC
· Apa itu RIETS
· Apa itu Call Warrants
· Apa itu ADX
· Apa itu RSI
· Apa itu Bollinger Band serta Indikator Teknikal yang lain.
· Apa beza Trader vs Investor
· Apa beza Income Stocks vs Growth Stocks
· Apa maksud tema pasaran semasa
· Apa itu strategi Switching
· Apa itu strategi Chanelling
· Apa itu strategi Dollar Cost Averaging
· Apa itu strategi Scalping
· Apa itu Value Investing
· Apa itu PE Ratio dan bagaimana mengiranya
· Bagaimana Exercise Split dan Bonus diijalankan
· Serta banyak lagi soalan-soalan yang lain
Cetak senarai ini dan berikan kepada mereka kemudian minta mereka jawab di situ juga tanpa mengooglenya. Kalau dapat jawab kesemuanya maka mereka layak menjadi mentor saham anda!
Ketahuilah ia mengambil masa yang lama untuk menguasai pelaburan saham. Ilmu sahaja tak mencukupi tanpa pengalaman. Setahun dua juga belum cukup untuk memahami dan menguasainya.
PERCAYALAH ANDAI ANDA BERTEMU DENGAN MENTOR SERTA SEMINAR YANG SALAH MAKA ANDA AKAN BERTEMU DENGAN KERUGIAN DEMI KERUGIAN.
Mungkin anda akan berkata yang FY umpama biawak, menabur pasir ke dalam periuk nasi orang lain, itu terpulang kepada anda. Terus terang niat FY di sini tak lain hanya untuk membantu menyelamatkan anda dari terjebak yang mana hasilnya akan hanya mengecewakan anda. FY yang tahu sebenarnya punya amanah dan tanggungkawab untuk menyampaikan kepada yang tidak tahu.
Apapun ia terpulang kepada anda. Adakalanya manusia terpaksa melalui jalan yang salah terlebih dahulu sebelum melalui jalan yang betul.
Apapun good luck FY ucapkan kepada anda semua.
Sekian dulu.
Ikhlas demi kebaikan ummah.
FY
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia
016 6667430
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia
016 6667430
Wednesday, January 1, 2014
Jangan Jatuh Cinta Dengan Saham...
Assalamualaikum... Salam Sejahtera, Salam Ceria...
Hari ini FY nak perkenalkan seorang Remisier, salah seorang Sifu Saham yang berpengalaman luas dalam bidang saham ini. Namanya Sifu Roslan Jamali, salah seorang Exco dalam Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia juga merupakan salah seorang Associate bagi syarikat Advance Forward Training and Consultants. Syarikat yang telah memberikan perkongsian dalam aspek motivasi dan pelaburan saham kepada ramai peserta-peserta seminar.
Salah satu tip pelaburan penting Sifu Roslan Jamali ialah as a trader, never love a stock. Maksudnya di sini, janganlah menimbulkan rasa cinta kepada sesuatu saham itu. Contohnya mereka yang membeli saham Felda Global Vantures 2 tahun dahulu pada harga IPO RM4.55, harganya telah naik setinggi RM5.55 namun demikian ekarang ia telah turun kembali ke paras RM4.53 kembali ke harga asalnya. Inikerkadar langsung dengan penurunan harga komoditi Minyak Kelapa Sawit. Return on Investment kalau kita melabur dalam saham ini ialah 0. Malah kita rugi masa dan duit yang kita laburkan. Bukankah lebih baik kalau kita menjualnya tatkala kita masih untung satu ketika dahulu dan membeli saham lain yang berpotensi.
Ada pelabur yang jatuh cinta dengan saham MAS, KNM dan banyak lagi atas pelbagai sebab namun harga sahamnya terus-terusan merudum dan merudikan pelaburnya.
Atas sebab inilah pada FY, janganlah kita sampai jatuh cinta kepada mana-mana saham sekalipun. Bila nampak untung dan harga saham itu telah sampai ke harga sasarannya, jual sahaja. Banyak lagi saham yang undervalue yang boleh kita beli bagi mendapatkan keuntungan yang seterusnya.
Orang kata Cinta itu Buta, tapi saranan FY kalau nak bercinta sekalipun bukalah mata. Bukalah mata seluas-luasnya agar pilihan yang kita buat itu merupakan satu pilihan yang betul dan menguntungkan.
Memandangkan Sifu Roslan Jamali beroperasi di Kuching, Sarawak, jadi kepada pelabur yang berada di Sabah dan Sarawak, anda boleh menghubungi beliau bagi membantu anda dalam portfolio pelaburan saham anda. Hubungi beliau di talian 016 8572265 atau 08 242 6355.
Sekian buat kali ini. Wassalam.
Ikhlas,
FY
PS - Seminar Super Investor FY akan diadakan pada 18 Januari ini. Kepada yang berminat untuk memulakan portfolio pelaburan saham di Bursa Malaysia layari www.seminarsaham.com.my untuk mendaftar.
Subscribe to:
Posts (Atom)




