Tuesday, June 21, 2011

Strategi Pelaburan Saham – Saham Pertumbuhan atau Saham Pendapatan


Strategi Pelaburan Saham – Saham Pertumbuhan atau Saham Pendapatan

Bagi pelabur-pelabur saham, soalan lazim yang selalu bermain di fikiran ialah “Patutkah saya melabur untuk pertumbuhan atau pendapatan?” Sebelum membuat keputusan, seorang pelabur perlu memahami perbezaan antara saham pendapatan dan saham pertumbuhan.

Apa sebenarnya saham pendapatan (income stock)?

Saham pendapatan ialah saham yang membayar dividen. Tujuan memiliki saham pendapatan ialah untuk mendapatkan dividen tinggi secara konsisten, sebagai sumber pulangan semasa dan bukannya untuk mengharapkan naik nilai harga saham anda. Harga saham pendapatan lazimnya kurang meruap (volatile) berbanding saham-saham lain yang didagangkan di pasaran saham. Oleh itu, apabila pasaran menurun, harga saham-saham pendapatan akan mengalami penurunan harga yang perlahan kerana para pelabur akan mengekalkan pegangan saham mereka selagi syarikat membayar dividen.

Saham-saham seperti ini kurang terjejas oleh kitaran perniagaan, di mana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat masih tetap diperlukan pengguna walaupun keadaan ekonomi kurang baik. Ini termasuklah kemudahan awam, makanan dan keperluan harian yang lain. Ini bererti, saham syarikat yang menawarkan produk dan perkhidmatan sebegini berisiko rendah.

Walau bagaimanapun, anda perlu memantau kadar faedah dan inflasi apabila melabur dalam saham-saham ini disebabkan ianya sensitif kepada perubahan kadar tersebut. Apabila kadar faedah naik dan jika kadar hasil dividen sesuatu saham itu kekal, ataupun turun ke tahap yang lebih rendah berbanding kadar faedah yang ditawarkan instrumen pelaburan yang lain (seperti simpanan tetap ataupun bon korporat), harga saham ini mungkin turun. Selain itu, sekiranya kadar inflasi naik dan kadar hasil dividen sesuatu saham itu dikekalkan setiap tahun, hakikatnya, dividen sebenar yang diperolehi  adalah lebih rendah.

Bagaimana pula dengan saham pertumbuhan (Growth stock)?

Berbeza dengan saham pendapatan, saham pertumbuhan membayar dividen yang minimum ataupun tidak membayar dividen langsung. Sebaliknya, saham pertumbuhan menawarkan potensi pertumbuhan yang tinggi. Ia biasanya mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan purata (lazimnya dua angka), untuk tiga tahun berturut-turut . Kebanyakan syarikat pertumbuhan yang berpotensi terlibat dalam industri yang sedang berkembang pesat, seperti syarikat-syarikat Teknologi Maklumat dan Teknologi Bio. Syarikat-syarikat ini selalunya mendahului pasaran ataupun mempunyai potensi untuk mendahului pasaran. Antara ciri-ciri utama syarikat-syarikat ini ialah kos penyelidikan dan pembangunan mereka yang tinggi berbanding pendapatan mereka. Selain itu, syarikat-syarikat yang  kukuh dalam bidang  pasaran tertentu ataupun syarikat-syarikat yang mempunyai halangan kemasukan yang tinggi juga tergolong dalam kategori ini.

Walau bagaimanapun, melabur dalam saham pertumbuhan mempunyai risiko tersendiri. Oleh kerana potensi pertumbuhan ialah sesuatu yang belum terjadi dan persekitaran perniagaan sentiasa berubah-ubah, syarikat-syarikat ini juga menanggung risiko yang lebih tinggi apabila produk dan perkhidmatan mereka gagal mengikuti perkembangan semasa dalam pasaran mereka.

Jadi, mana satu yang patut dipilih?

Sekarang, anda sudah mempunyai pemahaman asas mengenai saham pendapatan dan saham pertumbuhan dan apakah perbezaaan antara keduanya, persoalaannya mana satukah saham yang perlu dipilih? Bagi menentukan saham mana satu yang sesuai, anda perlu menilai kedudukan dan menetapkan matlamat kewangan anda terlebih dahulu.

Secara amnya, sekiranya anda tergolong dalam kategori berikut, saham pendapatan lebih sesuai untuk anda kerana risikonya lebih rendah dan lebih mudah dijangka:

·         anda inginkan pendapatan yang tetap daripada pasaran saham untuk menampung perbelanjaan anda; atau
·         anda hampir bersara dan bergantung kepada pendapatan daripada pasaran saham untuk mengekalkan taraf kehidupan anda; atau
·         anda baru sahaja hendak mula melabur dalam pasaran saham.

Manakala, saham pertumbuhan sewajarnya menjadi pilihan anda jika:
·         anda mempunyai sejumlah wang dan ingin melabur untuk jangkamasa panjang bagi memperolehi kenaikan modal.

Pastikan anda mengenali saham syarikat yang dilaburkan

Membeli saham sesebuah syarikat secara tidak langsung bermakna anda memiliki sebahagian daripada perniagaan syarikat tersebut. Sekiranya anda yakin ia berpotensi tinggi dan memiliki asas/fundamental yang kukuh, maka percaya kata hati dan teruskan niat untuk melabur dalam syarikat tersebut.

Pendapat berikut mungkin tidak sama dengan pandangan umum, tetapi bukan kesemua syarikat dalam industri terbaru dan terkini merupakan pilihan pelaburan yang baik. Jangan melabur dalam saham syarikat Teknologi Bio semata-mata kerana orang ramai mengatakan ia bagus dan mereka juga melabur dalam syarikat itu. Sentiasa ingat bahawa anda perlu memahami perniagaan syarikat yang anda pilih dan bagaimana syarikat tersebut mengaut keuntungannya . Ini kerana, saham pertumbuhan biasanya berisiko tinggi disebabkan ketidakpastian dalam potensi perniagaan syarikat. Pastikan anda membuat kajian terlebih dahulu agar dapat mengurangkan kemungkinan anda kehilangan wang.

Tujuan utama melabur ialah untuk membuat duit, tidak kira sama ada ia membayar pendapatan dividen ataupun untung modal. Walau bagaimanapun, anda seharusnya membina portfolio berdasarkan keperluan peribadi – iaitu sama ada anda perlukan wang untuk jangka masa pendek atau anda hendak mengumpul kekayaan dalam jangka masa panjang. Anda juga boleh mencuba untuk menggabungkan kedua-dua jenis saham dalam portfolio pelaburan dan menilai keuntungnya secara keseluruhan.


Artikel ini ditulis oleh SIDC dan En. Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.

Menghadapi Krisis Kewangan


Krisis atau kegawatan ekonomi adalah perkataan yang sering kali kita dengar, sama ada di televisyen, radio dan juga akhbar. Pelbagai kesan krisis ini, sama ada di peringkat global ataupun tempatan yang telah kita ketahui. Bagaimana pula dengan pelaburan? Adakah kemelesetan ekonomi yang berlaku ini memberikan kesan kepada pelaburan anda. Dalam artikel ini, kita akan mengupas cara-cara yang boleh dilakukan untuk menghadapi situasi sukar seperti ini. 

Bagaimana menghadapi krisis ini?

Ramai orang yang bertanya soalan ini atau soalan-soalan yang seumpamanya. Di sini, kami senaraikan antara langkah-langkah yang boleh diambil dan ianya berada dalam kawalan kita dalam menempuh kegawatan terbabit.

Urus perbelanjaan anda dengan bijak

Sebagai permulaan, kaji semula perbelanjaan anda dan kenal pasti perbelanjaan tetap dan boleh ubah. Bagi perbelanjaan boleh ubah seperti makan di tempat kesukaan atau membeli belah, anda boleh mengurangkan atau mengehadkan kekerapannya dan apa yang diperlukan adalah sedikit disiplin dan perubahan kepada aktiviti sosial anda. 

Bagaimana pula dengan perbelanjaan tetap? Ia adalah perbelanjaan yang tidak boleh dielak atau dikurangkan terus untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan anda. Perkara yang selalunya dalam kategori ini melibatkan perbelanjaan besar seperti:
•    Pembiayaan rumah, kenderaan atau pinjaman pendidikan
•    Pembayaran insurans
•    Bil-bil utiliti dan kontrak perkhidmatan seperti air, elektrik, telefon dan Internet.

Walaupun anda tidak boleh menghapuskan perbelanjaan sebegini, ada cara-cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbelanjaan dalam kategori ini.

•    Jadilah pengguna bijak!

Semasa kegawatan ekonomi, Kerajaan biasanya akan melaksanakan pakej  rangsangan ekonomi seperti mengurangkan kadar faedah untuk menggalakkan orang ramai berbelanja. Anda boleh mendapat manfaat daripada pakej ini dengan mencari kadar yang lebih murah dan tawaran yang lebih baik untuk membiayai semula gadai janji yang ada. Terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan  dan anda hanya perlu memilih tawaran yang terbaik, iaitu yang boleh menjimatkan kadar faedah yang dibayar. Langkah ini semestinya boleh menjimatkan wang anda dalam jangka masa panjang.

Begitu juga dengan perkara-perkara lain.  Dalam suasana perniagaan  yang lebih kompetitif, akan terdapat pelbagai promosi dan pakej istimewa di pasaran. Anda mesti pandai menyesuaikan diri untuk menjadi pengguna bijak. Jadikan tabiat mencari tawaran terbaik sebagai suatu amalan dan pastikan setiap ringgit yang dibelanjakan berbaloi.

•    Kawal perbelanjaan anda

Ketika cuba mengurangkan kadar faedah yang dibayar dan memberi lebih nilai untuk wang, anda sepatutnya tidak lagi berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Segala usaha anda dalam berjimat-cermat akan menjadi tidak berguna jika wang tunai berkurangan dan komitmen lain bertambah. Jadi, cuba  kawal perbelanjaan anda. Ingat! Hanya berbelanja untuk keperluan dan tangguhkan apa yang boleh.

•    Hadkan Penggunaan kad kredit

Jika anda gemar berbelanja menggunakan kad kredit tanpa sebarang rasa bersalah, sudah tiba masanya sifat tersebut dikikis. Dengan kebanjiran pelbagai jenis kad kredit di pasaran, sudah menjadi lumrah untuk seseorang memiliki banyak kad kredit. Kad kredit memang memberi kemudahan, namun ia boleh menyusahkan jika anda tidak berdisiplin apabila menggunakannya. Dengan kad kredit, anda sebenarnya  berbelanja menggunakan duit yang anda tidak ada pada masa ini. Lagi banyak anda berbelanja dan berhutang  dengan bank, lagi tinggi bayaran dikenakan selepas dicampur dengan bayaran kadar faedah dan caj-caj lain.

Oleh sebab itu, bagi menguruskan perbelanjaan anda dengan lebih baik, hadkan penggunaan kad kredit kepada satu atau dua kad sahaja serta sentiasa awasi baki bulanan yang ada. Elakkan hutang kad kredit anda daripada terus bertambah dan jika boleh, jelaskan kesemua hutang kad kredit setiap bulan.

Kegagalan untuk menyelesaikan hutang kad kredit boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk. Jika anda melihat kepada bilangan orang yang telah muflis di Malaysia, anda akan dapati jumlah tersebut agak membimbangkan, tambahan pula ramai daripadanya terdiri daripada golongan muda. 

•    Bina simpanan duit anda

Apabila anda telah mampu menguruskan wang, besar kemungkinan anda mempunyai lebihan wang tunai. Gunakan lebihan  ini untuk membina simpanan. Simpanan ini hendaklah mampu bertahan selama 6 bulan untuk menanggung perbelanjaan kehidupan seharian. Jika anda diberhentikan kerja baru-baru ini, jangan gunakan pampasan tersebut untuk mengubah suai rumah atau membeli kereta baru. Ia adalah simpanan anda. Simpan untuk waktu-waktu kecemasan. Jika anda mempunyai lebihan daripada simpanan, anda boleh ke langkah seterusnya.

•     Cari peluang-peluang pelaburan yang ada
“Inside of every problem lies an opportunity” - Robert Kiyosaki

Kebanyakan orang gagal untuk melihat peluang yang ada daripada sesuatu krisis. Sebenarnya, ketika waktu yang tidak menentu seperti inilah terdapat peluang-peluang yang baik dalam pelaburan, tidak kira dalam pasaran saham, hartanah atau produk pelaburan yang lain. Oleh itu, jika anda mempunyai lebihan wang, pelajari kaedah dan cari peluang-peluang pelaburan yang ada dengan mengambil kira tahap toleransi risiko anda.

Kesimpulannya, dalam keadaan krisis sebegini, anda perlu berhati-hati dengan keputusan pelaburan yang dibuat terutamanya apabila anda melabur dengan wang hasil titik peluh dan penat lelah anda. Dengan perancangan dan disiplin diri, anda mampu untuk mengharungi apa juga keadaan ekonomi.

Dipetik dari,

SECURITIES INDUSTRY DEVELOPMENT CORPORATION (SIDC), peneraju bidang pendidikan, latihan dan sumber maklumat berkaitan pasaran modal di ASEAN, adalah cabang pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 1994 dan diperbadankan pada 2007.

Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak.

Sunday, June 19, 2011

Charges for MITI IPO, Yuran Saham IPO MITI


Salam Sejahtera...

Disebabkan ramai yang bertanya, kali ini FY akan terangkan pula mengenai charges atau caj yang dikenakan bagi mendapatkan saham-saham IPO ini baik dari MITI mahupun dari mana-mana kelompok yang pernah FY terangkan dalam artikel yang sebelum itu.

1. Pink Form kepada pengarah, kakitangan mahupun vendor yang membantu membangunkan syarikat ;

Tiada caj yang dikenakan, mereka yang mendapat pink form ini hanya perlu membuat bank draf bagi membayar jumlah saham yang telah diperuntukan kepada mereka.

2. Peruntukan Saham kepada Institusi dan High Networth Clients.

Selalunya ini dijalankan oleh bank penasihat dan ada pelbagai cara ia dijalankan. Mereka yang punya kuasa atas peruntukan ini selalunya akan mengenakan caj beberapa sen berdasarkan permintaan. Ada juga yang mengenakan 25% atas keuntungan malah ada yang meminta hingga 50% yang pada FY tidak munasabah dan tidak masuk akal. Ada juga yang mengatakan ia merupakan peruntukan daripada MITI, daripada Mukhriz atau Tok Pa, caj yang dikenakan sebagai duit politik dan pelbagai helah lagi. Tahukah anda ia hanya dikenakan kepada High Networth Clients sedangkan tidak kepada Institusi.

3. Peruntukan Saham Khas Bumiputera di MITI

Disini juga ada segelintir yang mengenakan pelbagai cas atau komisyen bagi mereka yang berjaya mendapat peruntukan saham ini. Ada yang 3 sen, 5 sen 10 sen, ada yang 10% daripada keuntungan, ada yang 25% dan ada juga sehingga 50% daripada keuntungan. Ada yang mengenakannya di depan dan di belakang. Mengenakan komisyen 3 hingga 10 sen kemudian profit sharing selepas saham itu dijual. Sifat tamak manusia begitu jelas di sini. Bila ditanya kononnya ia dibayar kepada pegawai MITI yang meluluskan peruntukan tersebut. Kalau benar maknanya pegawai MITI itu makan rasuahlah. Namun sebenarnya pegawai MITI tidak meminta komisyen tersebut dan TAK BOLEH berbuat demikian kerana ia satu kesalahan.

Sekali lagi FY rasakan yang semua ini tak munasabah kerana kalau saham itu dibuka rendah atau pada harga diskaun daripada harga tawaran, kerugian pelabur akan bertambah sedangkan broker tersebut telahpun buat duit terlebih dahulu. 

Dalam hal ini pihak PRIBUMI mengenakan caj yang termurah iaitu 1 sen sahaja  bagi mereka yang berjaya. Duit ini pula merupakan pendapatan kepada Persatuan yang mana akan digunakan bilamana Road Show bersama MITI dijalankan bagi membayar sewa hotel, pengangkutan dan sebagainya.

Sesiapa yang hendak memohon peruntukan saham khas Bumiputera di MITI ini melalui PRIBUMI bolehlah menghubungi FY. FY sedia membantu.

Bagi mengelakkan semua caj atau komisyen yang dikenakan ini maka FY sarankan anda sebagai pelabur pergi membuat permohonan sendiri di MITI di Putrajaya kerana itu lebih baik.

4. IPO Public

Juga tiada caj atau komisyen yang dikenakan.

Brokerage pula akan hanya dikenakan bila transaksi saham dijalankan di mana-mana syarikat Broker. Itupun tak sampai 1% daripada jumlah nilai saham tersebut.

FY harap artikel ini menjelaskan lebih lanjut tentang semua ini bagi mengelakkan pembayaran yang tak perlu dan merugikan anda sebagai pelabur.

Sekian dahulu.


Friday, June 17, 2011

Penyenaraian Saham di Bursa Malaysia


FY nampak ada yang tidak berapa faham akan perihal saham IPO MITI ini dan perbezaannya dengan saham IPO yang dipohon melalui bank dengan menyediakan Bank Draft atau membuat pembayaran melalui ATM juga beberapa soalan lain. Jadi di sini FY akan cuba menerangkannya secara ringkas semoga ia membawa kefahaman kepada sesiapa juga membacanya.

Saham IPO atau Initial Public Offer atau Saham Terbitan Awam ini ialah saham syarikat yang mahu menyenaraikan syarikatnya di Papan Bursa Malaysia. Mereka menjual sebahagian daripada saham syarikat mereka kepada pelabur baik institusi mahupun pelabur runcit bagi mendapatkan duit bagi mengembangkan perniagaan dan mungkin juga untuk tujuan yang lain.

Apapun saham terbitan awam ini akan dibahagikan kepada 3 atau 4 bahagian ;

1. Pertamanya kepada kakitangan syarikat atau lebih dikenali sebagai Pink Form, borang merah jambu - borang yang mana permohonan saham itu PASTI dapat. Selalunya ia dalam lingkungan 10% dari peruntukan saham tersebut.

2. Keduanya kepada Pelabur Institusi dan ini diuruskan oleh Bank Penasihat yang dilantik syarikat tersebut. Selalunya ia dalam lingkungan 60 % daripada peruntukan saham tersebut.

3. Kemudian saham itu diperuntukkan pula kepada pihak MITI untuk diagihkan kepada Pelabur Bumiputera. Dalam hal ini ada juga syarikat yang disenaraikan tidak melalui MITI, ini kerana mereka telahpun punya profil atau kuota pelabur Bumiputera yang mencukupi. Contohnya Smartag, Mclean, XOX dan yang terbaru Eversendai tidak melalui MITI. Bagi yang kurang maka MITI lah tempatnya. Kira-kira 10 % peruntukan dikhaskan kepada MITI. Cara permohonannya ialah dengan memohon iaitu menulis surat kepada MITI dan menyediakan borang-borang yang diperlukan. Pada ketika ini akaun CDS, mahupun penyediaan Bank Draf tidak diperlukan.

Nota - PNB, Tabung Haji adalah antara institusi yang berada dalam kelompok saham peruntukan khas MITI ini. Mereka dikenali sebagai Tier 1 yang mana MITI memberi keutamaan kepada mereka. Selalunya kalau mereka memohon mereka akan memohon dengan jumlah yang banyak maka tinggallah saki baki untuk para pelabur kecil dan runcit.

*Kalau dahulu 30% pegangan saham Bumiputera merupakan satu kemestian sebelum satu-satu syarikat itu disenaraikan namun sekarang atas alasan liberalisasi semua ini tiada lagi.

4. Setelah melalui ketiga-tiga proses ini barulah IPO itu pergi kepada Public atau orang awam. Pelabur awam adalah tempat peruntukan saham yang terakhir dan ia juga berada dalam lingkungan 10% sahaja dengan hanya kira-kira 2% diperuntukkan kepada Bumiputera. Inilah sebabnya ia begitu sukar untuk mendapatkan peruntukan saham melalui undian ini kerana jumlah peruntukannya yang kecil. Saham ini dipohon samaada melalui ATM atau dengan menyediakan Bank Draf juga dengan memberikan no akaun CDS kepada samaada MIH atau MIDF bergantung kepada di mana saham itu diperuntukkan. Ia akan menjalani undian dan kalau gagal duit itu akan dipulangkan semula.

*Satu tip - Kalau hendak membelinya saham IPO Public ini, belilah pada jumlah yang banyak contohnya 11 lots, 20 lots, 50 lots, 100 lots dan sebagainya kerana ia akan diundi dalam kotak yang berasingan dan pastinya kotak 100 lots ke atas lebih kurang isinya kalau dibandingkan dengan kotak 10 lots ke bawah. Jadi peluang untuk diundi lebih tinggi. namun demikian jumlah yang bakal diperuntukkan terpulang kepada mereka.

IPO Public ini merupakan tempat yang terakhir sebelum ia masuk untuk disenaraikan. Ia perlu bagi mendapatkan spread seramai minimum 1000 pelanggan bagi menunjukkan yang profil syarikat itu seimbang yang mana pelaburnya terdiri daripada pelabur-pelabur dari pelbagai peringkat baik institusi mahupun individu.

Akhir sekali setelah semua ini diselesaikan dan pembayaran telah dibuat dan saham telah diagihkan maka syarikat itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia tak berapa lama kemudian.

FY harap penjelasan ini menjawab pelbagai soalan yang bermain di fikiran anda akan apakah perbezaan saham MITI dengan saham IPO ini.

Sekian dahulu buat kali ini.

Kalau anda ada apa-apa soalan mengenai pelaburan saham ini, hubungi FY. InsyaAllah FY akan cuba menjawabnya.

Wednesday, June 15, 2011

Saham IPO XOX Berhad yang mengecewakan


Di sini dalam artikel kali ini FY ingin menyentuh sedikit mengenai IPO yang baru listing bebaru ni dalam keadaan yang amat mengecewakan dan lebih malang lagi menyebabkan kerugian ramai pelabur. XOX Berhad. Sebuah syarikat yang memberikan perkhidmatan telekomunikasi.

Ia ditawarkan pada harga 80 sen dan tatkala disenaraikan ia terus merudum hingga semasa FY menulis artikel ini kepada 46.5 sen. Hampir separuh pelaburan yang dibuat telah hanyut.

Setelah menyemak serba sedikit prospektus syarikat ini persoalan FY begini ;
NTA atau Net Tengible Asset syarikat tersebut hanya pada 10.5 sen.
Par Value juga 10 sen. Kenapa ia dijual dan ditawarkan pada 80 sen? 

Soalannya apakah justifikasinya?

Kemudian syarikat itu mengalami kerugian 4 tahun berturut-turut dan setelah disenaraikan penyata kewangan sukutahunan yang baru juga mengalami kerugian sedangkan dalam prospektus mereka begitu yakin yang mereka akan membuat keuntungan. Mereka mensasarkan perolehan sekitar 250 juta tahun 2011 ini sedangkan untuk sukutahunan sehingga Mac ia hanya sekitar 13 juta dan kalau di darab 4 ia hanyalah dalam 52 juta???

Soalannya bagaimanakan SC boleh membenarkan syarikat yang sebegini disenaraikan?

Pada FY SC mestilah menjadi watchdog yang memantau dan menjadi penapis utama bagi kepentingan semua pelabur. Tatkala ini bukan semua pelabur yang celik pelaburan dan membaca prospektus yang tebal itu sebelum membeli sesuatu saham IPO itu. SC juga seharusnya memastikan yang hanya syarikat berkualiti yang disenaraikan di Bursa bukan syarikat-syarikat begini yang entah apa motifnya.

Selebih dari itu FY tak nak komen. FY cuma rasa kasihan pada pelabur yang membeli saham ini. Terus terang buatlah sedikit penyelidikan dan analisa sebelum membeli sesuatu saham itu bagi memastikan yang kedudukan kewangannya sihat. Prospektus umpama iklan gula-gula yang manis, perkara yang masam dan pahit semuanya disorokkan. Sekali lagi pesanan FY berhati-hatilah dalam memilih IPO yang terbaik sebelum tindakan pelaburan dibuat. Lagipun TA Research ada mengeluarkan write up supaya pelabur mengelak pembelian saham XOX ini.

Sekadar pandangan FY.

Sekian dulu.

Wednesday, June 1, 2011

Pasaran Saham Semasa


Mengenai Saham Terbitan Awam / IPO MITI

Bulan April yang lalu FY berada dalam mesyuarat antara Pihak Kementerian Kewangan dengan Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, ASCM dan juga Pribumi bagi membincangkan isu transformasi dalam Industri Kewangan yang mana antara agendanya ialah mengenai penglibatan pelabur Bumiputera dalam Ekuiti yang semakin lama semakin mengecil.

Kesimpulan yang boleh FY katakan ialah Liberalization atau Transformasi ini telah menyebabkan banyak kepentingan dan keutamaan Bumiputera terhakis dalam boleh dikatakan semua bidang dalam negara ini.

Berikut ini adalah fakta pelabur di negara ini ;

·         28 juta penduduk Malaysia
·         66% Bumiputera
·         4 juta CDS akaun (Individu)
·         200,000 aktif
·         10 juta layak melabur
·         6 juta berpotensi menjadi pelabur!

Fakta : 50% penduduk Amerika adalah pelabur

Dasar Ekonomi Baru yang dimulakan oleh Tun Razak dahulu mensasarkan peratus penglibatan Bumiputera dalam Ekuiti mesti dipertingkatkan dari 2% ketika itu kepada 30% namun sehingga kini ia masih tidak dapat dicapai. Pada ketika ini penglibatan bumitera adalah pada takat 22%, itupun peratusannya dikuasai oleh institusi kewangan milik kerajaan seperti Khazanah Nasional, PNB dan sebagainya dan BUKANNYA PELABUR RUNCIT!

*Cukupkah sasaran penglibatan sebanyak 30% sedangkan Populasi Bumiputera di negara ini sekitar 66%.



Kemudian kalau dahulu antara tahun 1993-1997, nisbah pelabur adalah seperti berikut;

Pelabur Runcit     : 70 %
Pelabur Institusi : 30 %

Dewasa ini :

Pelabur Runcit           : Telah menurun kepada tak sampai 20 %.
Pelabur Institusi        : Telah meningkat melebihi 80 %.

Sebabnya banyak dan terlalu panjang untuk FY terangkan namun untuk memendekkan cerita, semua pihak baik Broker, Remisier, SC, Bursa, Persatuan, Kementerian dan sebagainya berusaha untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam pasaran saham. Ini kerana pasaran sahamlah tempatnya bagi tujuan peningkatan ekonomi yang paling cepat. Sekiranya ini tidak dilakukan maka pasaran akan menjadi lembab, penglibatan pelabur bumiputera akan merosot dan pastinya ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi Bumiputera kalau dibandingkan dengan kaum lain yang mana peningkatkan household income mereka yang semakin lama semakin jauh meninggalkan kaum Bumiputera.

SC dan Bursa menjalankan pelbagai kempen, menukar pelbagai polisi bagi menarik pelabur individu ke dalam pasaran, begitu juga Broker, Persatuan dan para remisier menjalankan seminar-seminar saham di sana sini bagi mengajak pelabur baru menceburkan diri dalam pelaburan saham ini. Kementerian juga cuba melakukan perkara yang sama. Dalam Bajet yang dibentangkan oleh PM baru lalu Kakitangan industri diberi kemudahan untuk mendapatkan dual license bagi tujuan meningkatkan penglibatan pelabur dalam Ekuiti juga Derivatif. Ekuinas juga ditubuhkan tahun lalu dengan bajet sebanyak RM5 billion dalam tempoh 5 tahun ini bagi tujuan yang sama. Bursa contohnya cuba untuk menambah penglibatan PDT atau Proprietary Day Trader bagi tujuan memanaskan pasaran saham bagi menarik pelabur ke dalamnya.

Kemudian kita ada terbitan IPO di MITI.

Pada tahun 1996 dahulu semasa kenaikan Saham Papan Kedua yang mana semua IPO yang disenaraikan di papan kedua akan naik berlipat kali ganda dan secara tak langsung meningkatkan penglibatan pelabur runcit di pasaran. Hingga ada yang sanggup meminjam Kad Pengenalan beratus orang lain untuk memohon IPO-IPO tersebut.

Pada masa itu polisinya sesuatu syarikat yang ingin disenaraikan mesti mempunyai 30% peruntukan saham kepada Bumiputera dan 70% daripada apungan saham itu diperuntukan kepada pelabur runcit. Inilah yang menyebabkan kenaikan harga saham itu bila disenaraikan kerana pihak Institusi mengejarnya bagi mendapat saham-saham tersebut daripada pelabur runcit.

Namun semua ini telah berlalu kerana semenjak merudumnya ekonomi oleh sebab krisis kewangan Asia pada tahun 1997 IPO tidak lagi diambil jadi nisbah peruntukan untuk pelabur runcit ini terus merosot dan kini sedikit sahaja yang dperuntukkan kepada pelabur runcit iaitu sekitar 10 hingga 20%. Kalau dahulu 30% kepada pelabur Bumiputera dewasa ini hanya sekitar 15%. Lebih kurang 12 % diperuntukan melalui MITI dan 3 peratus lagi melalui terbitan awam dengan cara undian. Itupun baru-baru ini pihak ETHOS syarikat konsultansi yang dilantik kerajaan ingin menarik balik peruntukan di MITI ini untuk diberikan kepada peruntukan awam namun setakat ini ia berjaya dipertahankan namun mereka memantau strategi pemberiannya kepada pelabur.

Kalau dahulu hanya pelabur besar yang memohon IPO-IPO ini di MITI namun kebelakangan ini pihak MITI dengan kerjasama Pribumi, Broker juga Bursa Saham telah menjalankan road show untuk menarik lebih ramai pelabur runcit memohon saham-saham yang diterbitkan ini dengan satu misi – Meningkatkan penglibatan pelabur Bumiputera dalam pasaran Saham.

FY sebagai exco penerangan kepada PRIBUMI telah dijemput pihak MITI untuk menyampaikan isu saham IPO MITI ini kepada para peabur dalam program outreach mereka di Kota Bharu Kelantan dan InsyaAllah di Grik bulan hadapan. FY juga dijemput menyampaikan ceramah yang sama dalam Program MITI bersama Usahawan pada 27 dan 28 Mac yang baru lalu. Ini kerana Pribumi adalah anggota G7 bagi Business Advisory Centre dan FY merupakan AJK tetap di dalamnya.

Antara Jawatankuasa kerja BAC adalah seperti berikut :

Pengerusi Bersama
En. Nik Abu Bakar Nik Mohamed
En. Rajini Ramlan

Setiausaha
Pen. Setiausaha
Dr. Aishah Kasa
En. Samsu Kadir

Jawatankuasa Aktiviti BAC
Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA)

Jawatankuasa Media, Promosi dan Penerbitan
Persatuan Kontraktror Buku Malaysia
(PKBM)

Jawatankuasa Human Capital
Persatuan Remisier Bumiputra Malaysia (PRIBUMI)

Jawatankuasa Hubungan Stakeholder
Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM)

Jawatankuasa Pemantauan dan Pengkalan Data
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia
(DPMM)

Jawatankuasa ICT
Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Berhad (WENA)


G7 ini adalah NGO-NGO kuat yang bertujuan meningkatkan ekonomi bumiputera.

Namun semua perubahan ini tidak disenangi pihak-pihak tertentu. Pihak yang sekian lama cuba menyimpan dan merahsiakan lubuk rezeki ini bagi kepentingan diri sendiri. Kalau dahulu mereka boleh mendapat jutaan saham IPO dengan permohonan di MITI dalam lain perkataan yang kaya menjadi bertambah kaya namun semua ini telah berlalu. Sekarang keadaannya telah berubah. Sekarang kuantiti dan tebaran kepada yang ramai menjadi agenda utama. InsyaAllah ia membawa kepada keuntungan kepada ramai bumiputera dengan cara ini dan bukan hanya kepada orang-orang yang tertentu sepertimana dahulu.

Mereka yang tidak berpuas hati kerana territory mereka diganggu baik dari pihak tertentu dalam MITI sendiri, dari pihak remisier yang mana pelanggannya selalu mendapat berjuta saham sebelum ini mahupun dari pihak-pihak yang mengatakan periuk nasi mereka terganggu sebenarnya bodoh dan jahil kerana melihat isu ini dari sudut yang begitu sempit dan bukannya sudut yang FY bentangkan ini hingga ada pihak yang cuba menahan FY dari menyampai dan menwar-warkan isu peruntukan saham Bumiputera ini kepada anda semua sedangkan FY diberi mandat oleh Pribumi mahupun pihak MITI untuk berbuat demikian. Bukankah anda semua pelabur di luar sana yang tahu mengenai pelaburan saham IPO MITI ini akan mendapat manfaat keuntungan bila berjaya memohon saham-saham ini?

Jadi apakah sebabnya ada segelintir pihak yang cuba menghalang FY menyampaikan semua ini. Sebabnya mudah kerana kepentingan perut mereka sendiri, kerana sifat tamak haloba yang ada dalam hati mereka. FY doakan agar Allah Taala berikan hidayah dalam hati mereka. InsyaAllah. FY cukup yakin yang ia takkan menjadi masalah sekiranya blog ini tidak dikenali maangnya blog ini merupakan blog rujukan mengenai perihal pelaburan saham oleh penduduk di negara ini. Soalan FY mudah siapakah yang menaikkan blog ini ke tahap itu kalau bukan Allah Taala?

Terus terang dalam hal IPO MITI ini FY lebih suka sekiranya 1,000,000 pelabur mendapat 1 lot saham daripada 1 orang mendapat 1,000,000 saham sepertimana yang berlaku sebelum ini. Namun FY yakin ini bukanlah satu kerja yang mudah kerana pihak MITI tak punya cukup kakitangan untuk memproses 1,000,000 permohonan pada satu-satu masa namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Pada FY, IPO ini sebenarnya adalah salah satu cara membawa pelabur-pelabur Bumiputera baru ke dalam pasaran untuk memperkenalkan mereka kepada pelaburan saham secara praktikal. Ini kerana kempen-kempen yang dijalankan oleh SC dan sebagainya hanya dapat menarik jumlah pelabur yang kecil kerana promosinya tidak dijalankan dengan cara yang meluas.

Jadi kesimpulan dari semua ini ialah FY akan terus menjalankan semua penerangan ini seperti biasa dengan satu tujuan – Jihad ekonomi bagi meningkatkan ekonomi Ummah!

Kerana FY yakin kebenaran akhirnya akan mengatasi kebatilan.

Dan

Sesungguhnya orang yang paling baik ialah orang yang membawa manfaat kepada yang ramai.

Juga

Mata pena lebih tajam dari mata pedang!

Sekian dulu.

Fikir-fikirkanlah.