Showing posts with label IPO MITI. Show all posts
Showing posts with label IPO MITI. Show all posts

Friday, June 17, 2011

Penyenaraian Saham di Bursa Malaysia


FY nampak ada yang tidak berapa faham akan perihal saham IPO MITI ini dan perbezaannya dengan saham IPO yang dipohon melalui bank dengan menyediakan Bank Draft atau membuat pembayaran melalui ATM juga beberapa soalan lain. Jadi di sini FY akan cuba menerangkannya secara ringkas semoga ia membawa kefahaman kepada sesiapa juga membacanya.

Saham IPO atau Initial Public Offer atau Saham Terbitan Awam ini ialah saham syarikat yang mahu menyenaraikan syarikatnya di Papan Bursa Malaysia. Mereka menjual sebahagian daripada saham syarikat mereka kepada pelabur baik institusi mahupun pelabur runcit bagi mendapatkan duit bagi mengembangkan perniagaan dan mungkin juga untuk tujuan yang lain.

Apapun saham terbitan awam ini akan dibahagikan kepada 3 atau 4 bahagian ;

1. Pertamanya kepada kakitangan syarikat atau lebih dikenali sebagai Pink Form, borang merah jambu - borang yang mana permohonan saham itu PASTI dapat. Selalunya ia dalam lingkungan 10% dari peruntukan saham tersebut.

2. Keduanya kepada Pelabur Institusi dan ini diuruskan oleh Bank Penasihat yang dilantik syarikat tersebut. Selalunya ia dalam lingkungan 60 % daripada peruntukan saham tersebut.

3. Kemudian saham itu diperuntukkan pula kepada pihak MITI untuk diagihkan kepada Pelabur Bumiputera. Dalam hal ini ada juga syarikat yang disenaraikan tidak melalui MITI, ini kerana mereka telahpun punya profil atau kuota pelabur Bumiputera yang mencukupi. Contohnya Smartag, Mclean, XOX dan yang terbaru Eversendai tidak melalui MITI. Bagi yang kurang maka MITI lah tempatnya. Kira-kira 10 % peruntukan dikhaskan kepada MITI. Cara permohonannya ialah dengan memohon iaitu menulis surat kepada MITI dan menyediakan borang-borang yang diperlukan. Pada ketika ini akaun CDS, mahupun penyediaan Bank Draf tidak diperlukan.

Nota - PNB, Tabung Haji adalah antara institusi yang berada dalam kelompok saham peruntukan khas MITI ini. Mereka dikenali sebagai Tier 1 yang mana MITI memberi keutamaan kepada mereka. Selalunya kalau mereka memohon mereka akan memohon dengan jumlah yang banyak maka tinggallah saki baki untuk para pelabur kecil dan runcit.

*Kalau dahulu 30% pegangan saham Bumiputera merupakan satu kemestian sebelum satu-satu syarikat itu disenaraikan namun sekarang atas alasan liberalisasi semua ini tiada lagi.

4. Setelah melalui ketiga-tiga proses ini barulah IPO itu pergi kepada Public atau orang awam. Pelabur awam adalah tempat peruntukan saham yang terakhir dan ia juga berada dalam lingkungan 10% sahaja dengan hanya kira-kira 2% diperuntukkan kepada Bumiputera. Inilah sebabnya ia begitu sukar untuk mendapatkan peruntukan saham melalui undian ini kerana jumlah peruntukannya yang kecil. Saham ini dipohon samaada melalui ATM atau dengan menyediakan Bank Draf juga dengan memberikan no akaun CDS kepada samaada MIH atau MIDF bergantung kepada di mana saham itu diperuntukkan. Ia akan menjalani undian dan kalau gagal duit itu akan dipulangkan semula.

*Satu tip - Kalau hendak membelinya saham IPO Public ini, belilah pada jumlah yang banyak contohnya 11 lots, 20 lots, 50 lots, 100 lots dan sebagainya kerana ia akan diundi dalam kotak yang berasingan dan pastinya kotak 100 lots ke atas lebih kurang isinya kalau dibandingkan dengan kotak 10 lots ke bawah. Jadi peluang untuk diundi lebih tinggi. namun demikian jumlah yang bakal diperuntukkan terpulang kepada mereka.

IPO Public ini merupakan tempat yang terakhir sebelum ia masuk untuk disenaraikan. Ia perlu bagi mendapatkan spread seramai minimum 1000 pelanggan bagi menunjukkan yang profil syarikat itu seimbang yang mana pelaburnya terdiri daripada pelabur-pelabur dari pelbagai peringkat baik institusi mahupun individu.

Akhir sekali setelah semua ini diselesaikan dan pembayaran telah dibuat dan saham telah diagihkan maka syarikat itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia tak berapa lama kemudian.

FY harap penjelasan ini menjawab pelbagai soalan yang bermain di fikiran anda akan apakah perbezaan saham MITI dengan saham IPO ini.

Sekian dahulu buat kali ini.

Kalau anda ada apa-apa soalan mengenai pelaburan saham ini, hubungi FY. InsyaAllah FY akan cuba menjawabnya.

Wednesday, June 1, 2011

Pasaran Saham Semasa


Mengenai Saham Terbitan Awam / IPO MITI

Bulan April yang lalu FY berada dalam mesyuarat antara Pihak Kementerian Kewangan dengan Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, ASCM dan juga Pribumi bagi membincangkan isu transformasi dalam Industri Kewangan yang mana antara agendanya ialah mengenai penglibatan pelabur Bumiputera dalam Ekuiti yang semakin lama semakin mengecil.

Kesimpulan yang boleh FY katakan ialah Liberalization atau Transformasi ini telah menyebabkan banyak kepentingan dan keutamaan Bumiputera terhakis dalam boleh dikatakan semua bidang dalam negara ini.

Berikut ini adalah fakta pelabur di negara ini ;

·         28 juta penduduk Malaysia
·         66% Bumiputera
·         4 juta CDS akaun (Individu)
·         200,000 aktif
·         10 juta layak melabur
·         6 juta berpotensi menjadi pelabur!

Fakta : 50% penduduk Amerika adalah pelabur

Dasar Ekonomi Baru yang dimulakan oleh Tun Razak dahulu mensasarkan peratus penglibatan Bumiputera dalam Ekuiti mesti dipertingkatkan dari 2% ketika itu kepada 30% namun sehingga kini ia masih tidak dapat dicapai. Pada ketika ini penglibatan bumitera adalah pada takat 22%, itupun peratusannya dikuasai oleh institusi kewangan milik kerajaan seperti Khazanah Nasional, PNB dan sebagainya dan BUKANNYA PELABUR RUNCIT!

*Cukupkah sasaran penglibatan sebanyak 30% sedangkan Populasi Bumiputera di negara ini sekitar 66%.



Kemudian kalau dahulu antara tahun 1993-1997, nisbah pelabur adalah seperti berikut;

Pelabur Runcit     : 70 %
Pelabur Institusi : 30 %

Dewasa ini :

Pelabur Runcit           : Telah menurun kepada tak sampai 20 %.
Pelabur Institusi        : Telah meningkat melebihi 80 %.

Sebabnya banyak dan terlalu panjang untuk FY terangkan namun untuk memendekkan cerita, semua pihak baik Broker, Remisier, SC, Bursa, Persatuan, Kementerian dan sebagainya berusaha untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam pasaran saham. Ini kerana pasaran sahamlah tempatnya bagi tujuan peningkatan ekonomi yang paling cepat. Sekiranya ini tidak dilakukan maka pasaran akan menjadi lembab, penglibatan pelabur bumiputera akan merosot dan pastinya ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi Bumiputera kalau dibandingkan dengan kaum lain yang mana peningkatkan household income mereka yang semakin lama semakin jauh meninggalkan kaum Bumiputera.

SC dan Bursa menjalankan pelbagai kempen, menukar pelbagai polisi bagi menarik pelabur individu ke dalam pasaran, begitu juga Broker, Persatuan dan para remisier menjalankan seminar-seminar saham di sana sini bagi mengajak pelabur baru menceburkan diri dalam pelaburan saham ini. Kementerian juga cuba melakukan perkara yang sama. Dalam Bajet yang dibentangkan oleh PM baru lalu Kakitangan industri diberi kemudahan untuk mendapatkan dual license bagi tujuan meningkatkan penglibatan pelabur dalam Ekuiti juga Derivatif. Ekuinas juga ditubuhkan tahun lalu dengan bajet sebanyak RM5 billion dalam tempoh 5 tahun ini bagi tujuan yang sama. Bursa contohnya cuba untuk menambah penglibatan PDT atau Proprietary Day Trader bagi tujuan memanaskan pasaran saham bagi menarik pelabur ke dalamnya.

Kemudian kita ada terbitan IPO di MITI.

Pada tahun 1996 dahulu semasa kenaikan Saham Papan Kedua yang mana semua IPO yang disenaraikan di papan kedua akan naik berlipat kali ganda dan secara tak langsung meningkatkan penglibatan pelabur runcit di pasaran. Hingga ada yang sanggup meminjam Kad Pengenalan beratus orang lain untuk memohon IPO-IPO tersebut.

Pada masa itu polisinya sesuatu syarikat yang ingin disenaraikan mesti mempunyai 30% peruntukan saham kepada Bumiputera dan 70% daripada apungan saham itu diperuntukan kepada pelabur runcit. Inilah yang menyebabkan kenaikan harga saham itu bila disenaraikan kerana pihak Institusi mengejarnya bagi mendapat saham-saham tersebut daripada pelabur runcit.

Namun semua ini telah berlalu kerana semenjak merudumnya ekonomi oleh sebab krisis kewangan Asia pada tahun 1997 IPO tidak lagi diambil jadi nisbah peruntukan untuk pelabur runcit ini terus merosot dan kini sedikit sahaja yang dperuntukkan kepada pelabur runcit iaitu sekitar 10 hingga 20%. Kalau dahulu 30% kepada pelabur Bumiputera dewasa ini hanya sekitar 15%. Lebih kurang 12 % diperuntukan melalui MITI dan 3 peratus lagi melalui terbitan awam dengan cara undian. Itupun baru-baru ini pihak ETHOS syarikat konsultansi yang dilantik kerajaan ingin menarik balik peruntukan di MITI ini untuk diberikan kepada peruntukan awam namun setakat ini ia berjaya dipertahankan namun mereka memantau strategi pemberiannya kepada pelabur.

Kalau dahulu hanya pelabur besar yang memohon IPO-IPO ini di MITI namun kebelakangan ini pihak MITI dengan kerjasama Pribumi, Broker juga Bursa Saham telah menjalankan road show untuk menarik lebih ramai pelabur runcit memohon saham-saham yang diterbitkan ini dengan satu misi – Meningkatkan penglibatan pelabur Bumiputera dalam pasaran Saham.

FY sebagai exco penerangan kepada PRIBUMI telah dijemput pihak MITI untuk menyampaikan isu saham IPO MITI ini kepada para peabur dalam program outreach mereka di Kota Bharu Kelantan dan InsyaAllah di Grik bulan hadapan. FY juga dijemput menyampaikan ceramah yang sama dalam Program MITI bersama Usahawan pada 27 dan 28 Mac yang baru lalu. Ini kerana Pribumi adalah anggota G7 bagi Business Advisory Centre dan FY merupakan AJK tetap di dalamnya.

Antara Jawatankuasa kerja BAC adalah seperti berikut :

Pengerusi Bersama
En. Nik Abu Bakar Nik Mohamed
En. Rajini Ramlan

Setiausaha
Pen. Setiausaha
Dr. Aishah Kasa
En. Samsu Kadir

Jawatankuasa Aktiviti BAC
Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA)

Jawatankuasa Media, Promosi dan Penerbitan
Persatuan Kontraktror Buku Malaysia
(PKBM)

Jawatankuasa Human Capital
Persatuan Remisier Bumiputra Malaysia (PRIBUMI)

Jawatankuasa Hubungan Stakeholder
Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM)

Jawatankuasa Pemantauan dan Pengkalan Data
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia
(DPMM)

Jawatankuasa ICT
Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Berhad (WENA)


G7 ini adalah NGO-NGO kuat yang bertujuan meningkatkan ekonomi bumiputera.

Namun semua perubahan ini tidak disenangi pihak-pihak tertentu. Pihak yang sekian lama cuba menyimpan dan merahsiakan lubuk rezeki ini bagi kepentingan diri sendiri. Kalau dahulu mereka boleh mendapat jutaan saham IPO dengan permohonan di MITI dalam lain perkataan yang kaya menjadi bertambah kaya namun semua ini telah berlalu. Sekarang keadaannya telah berubah. Sekarang kuantiti dan tebaran kepada yang ramai menjadi agenda utama. InsyaAllah ia membawa kepada keuntungan kepada ramai bumiputera dengan cara ini dan bukan hanya kepada orang-orang yang tertentu sepertimana dahulu.

Mereka yang tidak berpuas hati kerana territory mereka diganggu baik dari pihak tertentu dalam MITI sendiri, dari pihak remisier yang mana pelanggannya selalu mendapat berjuta saham sebelum ini mahupun dari pihak-pihak yang mengatakan periuk nasi mereka terganggu sebenarnya bodoh dan jahil kerana melihat isu ini dari sudut yang begitu sempit dan bukannya sudut yang FY bentangkan ini hingga ada pihak yang cuba menahan FY dari menyampai dan menwar-warkan isu peruntukan saham Bumiputera ini kepada anda semua sedangkan FY diberi mandat oleh Pribumi mahupun pihak MITI untuk berbuat demikian. Bukankah anda semua pelabur di luar sana yang tahu mengenai pelaburan saham IPO MITI ini akan mendapat manfaat keuntungan bila berjaya memohon saham-saham ini?

Jadi apakah sebabnya ada segelintir pihak yang cuba menghalang FY menyampaikan semua ini. Sebabnya mudah kerana kepentingan perut mereka sendiri, kerana sifat tamak haloba yang ada dalam hati mereka. FY doakan agar Allah Taala berikan hidayah dalam hati mereka. InsyaAllah. FY cukup yakin yang ia takkan menjadi masalah sekiranya blog ini tidak dikenali maangnya blog ini merupakan blog rujukan mengenai perihal pelaburan saham oleh penduduk di negara ini. Soalan FY mudah siapakah yang menaikkan blog ini ke tahap itu kalau bukan Allah Taala?

Terus terang dalam hal IPO MITI ini FY lebih suka sekiranya 1,000,000 pelabur mendapat 1 lot saham daripada 1 orang mendapat 1,000,000 saham sepertimana yang berlaku sebelum ini. Namun FY yakin ini bukanlah satu kerja yang mudah kerana pihak MITI tak punya cukup kakitangan untuk memproses 1,000,000 permohonan pada satu-satu masa namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Pada FY, IPO ini sebenarnya adalah salah satu cara membawa pelabur-pelabur Bumiputera baru ke dalam pasaran untuk memperkenalkan mereka kepada pelaburan saham secara praktikal. Ini kerana kempen-kempen yang dijalankan oleh SC dan sebagainya hanya dapat menarik jumlah pelabur yang kecil kerana promosinya tidak dijalankan dengan cara yang meluas.

Jadi kesimpulan dari semua ini ialah FY akan terus menjalankan semua penerangan ini seperti biasa dengan satu tujuan – Jihad ekonomi bagi meningkatkan ekonomi Ummah!

Kerana FY yakin kebenaran akhirnya akan mengatasi kebatilan.

Dan

Sesungguhnya orang yang paling baik ialah orang yang membawa manfaat kepada yang ramai.

Juga

Mata pena lebih tajam dari mata pedang!

Sekian dulu.

Fikir-fikirkanlah.