Monday, December 19, 2011

Keadaan Bursa Malaysia Kini



Salam sejahtera kepada mereka-mereka yang melayari blog FY, sekali lagi FY memohon maaf kerana kebelakangan ini FY agak sibuk dan kesempitan masa untuk menulis.

Baiklah kali ini FY akan tulis artikel yang sekian lama berlegar dalam fikiran hanya kini dapat dialihkan dalam bentuk penulisan iaitu perihal kedudukan pasaran saham terkini dan startegi yang terbaik untuk diambil dalam climate pasaran saham terkini.

Untuk pengetahuan semua, KLCI pada 1474 mata ini sebenarnya cukup tinggi jadi strategi membeli saham untuk satu jangkamasa yang lama atau buw low sell high bukan satu strategi yang baik. Buat masa ini strategi yang terbaik ialah buy high sell higher atau dalam ertikata lain menjalankan strategi trading iaitu untuk membeli dan menjual pada jangka masa yang pendek. Lebih pendek lebih baik. Ini kerana dewasa ini banyak saham hanya naik satu hari dan kemudiannya kembali merudum.

Keduanya kebelakangan ini banyak penny stocks yang naik. Dalam hal ini saranan FY ialah jangan mengejar saham-saham ini. Kalau ia sudah naik biarkan sahaja. Kalau anda ingin membelinya belilah pada harga yang rendah dan bukan bila ia sudah naik kerana pada masa anda membelinya dalang yang berada di belakang saham-saham ini akan menjualnya dan mendapat keuntungan. Kita yang rugi dan bila saham itu turun kita pula yang tersangkut dengan saham-saham cap ayam itu.

Untuk pengetahuan anda, hanya ada beberapa sebab saham-saham cap ayam ini naik mendadak.

  1. PDT atau Propreitory Day Traders.
Mereka ini masuk dan keluar atau zerosise position menjelang petang dan mengambil keuntungan daripada saham-saham ini dalam masa satu hari sahaja. Jadi carta saham itu selalunya akan berbentuk spike atau V terbalik. Mereka tiada kepentingan dalam saham tersebut tetapi berada dalam pasaran serta mempunyai lesen untuk berbuat demikian. Jadi berhati-hatilah dengan saham-saham yang sebegini.

  1. Sindiket.
Sindiket ini adalah dalang yang menyebabkan sesuatu saham itu bergerak naik mendadak dan cara permainan mereka berbeza-beza dan begitu sukar dikesan. Malah pihak Bursa Malaysia juga ketinggalan dengan kecanggihan mereka. Sekali lagi berhati-hatilah supaya anda tidak tersangkut dengan saham cap ayam ini, saham yang tiada nilai.

Salah satu faktor utama untuk dilihat sebelum trading dalam saham-saham penny stocks ini ialah pastikan volume pasaran melebihi 2 billion. Kalau ia melebihi 2 billion maka intu adalah masa yang sesuai untuk buat duit dalam saham-saham sebegini.

Sekian dulu.

FY

Wednesday, November 16, 2011

Terkini Pasaran Saham


KISAH HARVEST COURT

FY ingin ceritakan mengenai kedudukan pasaran saham dewasa ini. Mungkin maklumat-maklumat ini berguna untuk pelabur-pelabur yang baru berkecimpung dalam pasaran saham ini.

Baru-baru ini kebanyakan saham-saham berjajaran kecil atau saham ACE market yang naik mendadak yang boleh membawa pulangan melebihi 100%. Saham seperti Envair, Kbunai, DPS, SYF dan banyak lagi naik dengan mementum yang begitu cepat dengan kadar yang begitu tinggi. Saham yang paling banyak peningkatannya ialah saham Harvest Court, saham syarikat yang aktiviti utamanya ialah pembuatan pintu bergerak daripada 8 sen terus-terusan naik hingga ke tahap RM2.00 iaitu pulangan melebihi 1000%. Pastinya ia akan menguntungkan pelabur-pelabur yang melabur di dalamnya.

Masalahnya ialah kebanyakan saham-saham murah ini adalah saham cap ayam iaitu saham yang mana syarikat sebenarnya mengalami kerugian demi kerugian tahun demi tahun. Saham yang dimanipulasikan oleh sindiket-sindiket saham yang punya strategi yang tersusun untuk menyedut duit pelaburan para pelabur.

Setelah 3 kali dikenakan amaran oleh pihak Bursa dengan mengeluarkan notis Unusual Market Activity terhadap syarikat Harvest Court yang terus-terusan naik hingga ke RM2.13 akhirnya Bursa mengambil langkah menggantung urusniaganya pada 15 November dan seterusnya mengenakan tindakan Designation pada hari berikutnya. Saham ini jatuh limit down sebanyak 30% kepada RM1.49.  FY yakin yang ianya akan jatuh lagi memandangkan saham terapung yang masih ada dalam pasaran. Nasib baiklah dewasa ini limit down hanya dikenakan sekali sehari tak seperti dahulu yang mana ia boleh dikenakan dua kali dalam sehari.

Pabila Designation dikenakan maka ia akan memberhentikan pergerakan saham itu kerana pelabur perlu membayar tunai saham yang ingin dibeli dan hanya menjual saham yang yang telah dibayar. Jadi di sini mereka yang yang tak mampu membayarnya akan mengalami kerugian yang amat besar. Selain itu tujuannya ialah agar Bursa dapat membuat analisa siapa pemegang saham yang terbesar masa kini dan dengan itu boleh diketahui pihak mana yang manipulasi saham tersebut dan dimana mereka berada untuk tindakan diambil sekiranya perlu.

Terus terang FY tidak membeli saham-saham begini kerana pertamanya ia tiada sebab Fundamental, tiada kekuatan Financial, tiada petunjuk Teknikal. Yang ada cuma kisah anak Najib menjadi pengarah syarikat ini. FY mendengarnya sejak saham ini berharga 12 sen, kemudian berita mengenainya keluar pada harga sekitar 40 sen, namun FY tidak membelinya dan tidak menyarankan mana-mana pelanggan membelinya. Yang sedihnya seorang pelabur (bukan pelanggan FY) yang membeli 40 lots pada harga 2.05 hanya kerana mendengar berita ini. Pada ketika ini dia telahpun kerugian RM20,000 di atas kertas. Duit yang begitu sukar dicari lebur begitu sahaja.

Inilah masalahnya. Sekali lagi FY sarankan kalau nak melabur saham TOLONGlah belajar dan cari ilmunya kerana tanpa ilmu risiko kerugian anda akan menjadi amat besar.

Sekian dulu.

Friday, November 4, 2011

Bagaimana meningkatkan pegangan saham di Bursa Malaysia



Sejak zaman Tun Abdul Razak lagi beliau telah menyasarkan akan peningkatan ekonomi Bumiputera dalam bidang saham untuk ia mencapai pegangan 30% daripada pasaran. Visi beliau ini telah bermula di tahun 70an sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan namun sehingga kini ia tidak tercapai dan setakat ini pegangan saham ini hanyalah pada sekitar 22%. Itupun kebanyakannya ialah pegangan institusi. Pegangan individu bumiputera sehingga kini amatlah rendah.

Pada tahun 1993 pasaran saham naik mendadak bersesuaian dengan peningkatan sedekad ekonomi negara ketika itu. ( Sebenarnya kalau kenaikan KDNK atau GDP negara pada 8% setahun selama 10 tahun maka ekonomi negara telah berkembang sebanyak 80% mengikut kiraan mudah). Pada masa itu ramailah yang menjadi pelabur saham, ASB memberikan pulangan dividen dan bonus yang amat tinggi sehingga melebihi 15%, kisah pelaburan saham diperkatakan oleh semua orang termasuklah orang kebanyakan, pemandu teksi dan peniaga-peniaga Cina di pasar. Di kedai kopi dan di hotel ceritanya tak lain hanyalah saham.

Pemandu teksi tidak memandu teksi tetapi meletakkan teksi di tepi jalan untuk pergi ke syarikat broker saham untuk melihat portfolio saham mereka. Melabur saham jauh lebih menguntungkan daripada seharian memandu teksi. Pekerja-pekerja dan remisier yang bekerja di syarikat saham mendapat durian runtuh. Bonus gaji selama 24 bulan menjadi perkara biasa manakala para remisier pula menjadi jutawan segera pada tahun itu.

Tahun 1996 pula, kenaikan saham-saham papan kedua menyebabkan ramai yang membuka akaun saham. Kad pengenalan orang-orang dari seluruh pelusuk kampung dipinjam bagi tujuan membuka akaun dan memohon saham IPO papan kedua ini. Mana taknya bila ia disenaraikan ia akan naik contohnya hari pertama RM8, hari kedua RM13, hari keempat RM18, hari kelima RM23 begitulah seterusnya hingga ada yang mencecah hingga RM200 sesaham iaitu RM200,000.00 untuk 1 lot 100 unit saham walhal harga IPO itu hanyalah RM4.50.

Saham syarikat Biskut Hwa Tai, saham syarikat Pembalakan NBT, saham syarikat tisu Union Paper contohnya naik sehingga melebihi RM100 ringgit sesaham. Pada masa itu cukuplah dengan mengatakan yang pihak syarikat mula melabur di China maka sahamnya pasti akan mencanak naik. Tiada saham papan kedua ini yang kurang dari RM10 harganya di pasaran tatkala itu.

KLCI naik melebihi 1300 mata dan saham papan kedua ini pula naik sehingga 600 mata. Namun zaman kegemilangan saham ini hanya tinggal kenangan yang sekali sekala diperkatakan oleh pelabur-pelabur lama yang terlibat pada ketika itu.

Kejatuhan pasaran saham disebabkan spekulasi mata wang oleh George Soros dan konconya menyebabkan semuanya musnah. Bukan hanya Malaysia malah saham-saham di Bursa Saham serantau semuanya merudum teruk. KLCI jatuh sehingga 200 mata pada masa itu. Ramai pelabur yang terbakar tangannya dan mengalami kerugian yang amat teruk. Kerajaan Tun Dr Mahathir terpaksa mengambil langkah drastik antaranya mengikat matawang RM, matawang RM tak laku di luar negara, not RM500 dan RM1000 dimansuhkan dan sebagainya bagi menyelamatkan ekonomi negara ini. Bantuan daripada IMF juga tidak diterima sebaliknya Malaysia meminjam dari negara Jepun dan negara lain. Pada masa itu ramai penganalisis yang mengatakan Malaysia akan jatuh merudum dan ekonominya akan musnah.

Namun itu tidak berlaku dan Malaysia bangkit dari kegawatan ekonomi itu dengan kadar yang baik serta secara organik dan menyeluruh.

Apapun semuanya telah terjadi ramai pelabur yang serik dan meninggalkan pasaran saham dan tak mahu mengusiknya lagi sehingga kini. Selama lebih sedekad pelabur runcit lebih-lebih lagi Bumiputera menjauhkan diri dari pasaran dan menjadi begitu negatif hingga mereka memberitahu generasi muda untuk melakukan perkara yang sama. Inilah antara sebabnya peningkatan pegangan ekuiti itu begitu kecil di kalangan bumiputera di negara ini.

KENAPA dan APAkah sebabnya pasaran saham ini naik sedemikian rupa pada masa itu?

Pertamanya ia disebabkan Sistem Bursa Malaysia. Pada masa itu ia menggunakan sistem Winscore yang diambil dari Taiwan. Sistem ini sebenarnya mempunyai banyak kelemahan. Salah satunya pada masa itu leveragenya tinggi. Ia membolehkan para pelabur membeli saham dengan collateral yang rendah. Hanya dengan meletakkan RM5,000.00 contohnya pelabur boleh membeli sehingga beratus ribu ringgit. Ia sebenarnya menyebabkan bubble dalam pasaran dan bila ia meletup ia menyebabkan pasaran merudum teruk.

Namun demikian tahukah anda sekarang sistem ini telah lama ditukar. Sekarang Bursa Malaysia menggunakan sistem BFE atau Broker Front End yang jauh lebih baik. Pada masa ini pelabur yang meletakkan RM5,000.00 contohnya hanya dapat membeli setakat 3 kali atau RM15,000.00. Maka pastinya bubble ini tidak akan terjadi. Itulah sebabnya kejatuhan saham pada sekitar tahun 2008-2009 disebabkan oleh masalah politik domestik dan Isu Sub Prime di Amerika hanya pada tahap 800 mata walaupun pada ketika itu Dow Jones jatuh sehingga 6000 mata.

Untuk pengetahuan anda pada masa itu Bursa Vietnam jatuh daripada ketinggian 1300 mata hingga ke 200 mata seakan apa yang terjadi kepada bursa negara ini di tahun 1997 dahulu. Mungkin inilah agenda Agenda Institusi Hedge Fund Barat yang memanipulasi pasaran saham untuk menyedut dana modal rakyat sesebuah negara yang lemah sistem pasaran sahamnya memandangkan ekonomi negara itu sedang memuncak naik. Ini kerana mereka jauh lebih maju dan punya modal yang jauh lebih besar.

Dewasa ini mereka menggunakan instrumen Forex pula tanpa kita sedari. Tak perlulah saya terangkan dengan panjang lebar mengenainya. Cukuplah satu ketika dahulu untuk menjalankan urusniaga Forex kita memerlukan pelaburan sebanyak RM5 juta namun semenjak pemerintahan George Bush Jr ia dibuka kepada pelabur runcit yang boleh membuat pelaburan dengan jumlah modal yang sedikit. Seluruh dunia boleh melabur Forex dan dengan cara ini mereka menyedut modal-modal pelabur ikan bilis dari seluruh dunia menggunakan kecanggihan teknologi mereka. Terus terang saya kenal ramai yang telah terbakar tangannya melalui pelaburan Forex ini.

Amerika melihat dunia dari sudut penguasaannya ke seluruh dunia baik dari segi ideologi, kewangan, pendidikan, politik dan sebagainya sedangkan kita melihat hanya dalam satu fokus yang begitu kecil hanya dalam negara ini. Kita tak punya prinsip untuk menakluki dunia di dalam diri. Mereka akan melakukan apa sahaja demi kepentingan mereka dan secara tak langsung cuba melemahkan dunia Islam. Sekali lagi tak perlulah saya menulis dengan panjang lebar mengenainya. Cukuplah dengan saranan berhati-hatilah dengan agenda jahat mereka.

Samaada anda percaya atau tidak Indonesia yang sedang rancak pasaran sahamnya sekarang juga nanti akan menerima padahnya. Satu hari nanti mereka akan menyedut dana modal rakyat Indonesia ini untuk kepentingan diri mereka. Kalau tak percaya kita tunggu dan lihat.  

Keduanya pada masa itu sistem settlement saham juga lemah. Saham yang dibeli perlu dibayar dalam masa 21 hari sebelum dikurangkan kepada 7 hari. Tak cukup dengan itu saham-saham masih menggunakan skrip yang mana saham-saham boleh dipinjam dan ditukar tangan dengan mudah. Keadaan ini menggalakkan urusniaga saham kontra yang mana membawa kepada velocity dan volum yang tinggi di pasaran.

Namun semua ini telah berubah dan diperbaiki. Akaun CDS diperkenalkan dan saham tidak lagi menggunakan skrip saham dan settlement pula hanya dalam masa 3 hari yang mana ia menyebabkan urusniaga kontra berkurangan dengan begitu ketara.

Ketiganya kenaikan IPO adalah disebabkan struktur IPO sepertimana yang pernah saya tulis dalam salah satu artikel dalam blog saya dahulu. Secara ringkasnya dahulu dalam setiap IPO lebih 60% diperuntukkan kepada pelabur runcit namun selepas ekonomi merudum pada tahun 1997 jumlahnya hanya sekitar 10 peratus sahaja. Ini menyebabkan saham-saham ini tidak naik di pasaran kerana Institusi telahpun mendapat saham-saham IPO ini jadi tak perlulah mereka membelinya daripada pelabur runcit di pasaran terbuka. Namun demikian peruntukan saham di MITI kepada pelabur runcit semenjak panghujung tahun lalu telah mula menunjukkan kepositifan kepada IPO-IPO ini juga secara tidak langsung membawa kepada peningkatan ekuiti Bumiputera di pasaran modal.

Faktor seterusnya pada masa itu ialah institusi unit saham amanah yang tumbuh bagai cendawan. Amanah Saham Selangor, Johor, Dana Johor, Amanah Saham Kedah, Kelantan, Terengganu swasta dan sebagainya yang dibenarkan membeli saham-saham papan kedua yang berisiko tinggi bagi mendapatkan keuntungan yang cepat. Namun merudumnya pasaran saham menyebabkan kebanyakan institusi pelaburan saham amanah ini merudum hingga ada yang bankrap. Kalau anda tidak percaya kajilah portfolio pegangan saham mereka dan anda akan lihat yang kebanyakan saham yang dipegang adalah saham papan kedua yang kebanyakan syarikatnya telah lama dibungkus.

Kelima pada masa itu Institusi Pelaburan seperti PNB, LTAT, EPF dan yang lainnnya masih baru. Khazanah pun belum wujud lagi maka pada masa pelabur Institusi luar negara menjual saham mereka juga panik dan turut menjual hingga harga jatuh begitu teruk.

Namun ini tak lagi berlaku kerana kebanyakan Fund Manager sekarang lebih mantap dan mereka membeli pada masa saham jatuh dan mereka menjual tatkala saham naik. Ini sebenarnya menyebabkan Foreign Fund tak berapa suka untuk melabur di negara ini. Ini kerana kalau mereka datang pelaburan mereka akan hanya menaikkan pasaran saham dan menguntungkan institusi kewangan dan pelaburan dalam negara ini. Jadi lebih baik mereka memilih melabur dalam negara yang lemah sistem pasaran sahamnya yang punya banyak loophole untuk dimanipulasikan. Oleh sebab inilah KLCI tidak jatuh begitu teruk dan bertahan pada 800 mata pada tahun 2008-2009 dahulu. Semuanya dengan bantuan institusi pelaburan dalam negara yang mempertahankannya. Lagipun dewasa ini lebih 50% daripada jumlah pegangan modal di pasaran saham adalah milik pelabur institusi tempatan.

Akhir sekali untuk artikel ini pada masa itu ramai yang tiada ilmu pelaburan bukan hanya di kalangan pelabur, malah remisier dan fund managers. Kalau tidak takkanlah mereka membeli saham-saham yang terlalu tinggi harganya jauh melebihi nilai sebenar syarikat tersebut. Membeli saham dalam keadaan buta dengan hanya mendengar rumors dan tip daripada jiran sebelah rumah contohnya.

Terus terang disini anda telah tahu saya telah lama berada dalam pasaran saham hinggakan saya boleh menerangkan akan semua ini. Untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang saham dan menjadi pelabur yang bijak pasti akan mengambil masa dan inilah yang berlaku pada diri saya. Bergelumang dengan saham lebih 15 tahun lamanya melalui kenaikan dan kejatuhannya. Terus terang dalam hal ini ramai yang belum punya kemahiran dalam bidang ini biarpun mereka telah berada dalam bidang saham ini sekian lama.

Saranan

Bagi meningkatkan ekuiti bumiputera dalam pasaran saham ini maka pada saya apa yang penting ialah pelabur mestilah punya kemahiran pelaburan atau penerapan nilai saham dalam diri mereka dan ini boleh dibentuk dengan bantuan remisier yang bijak, berpengalaman dan berkemahiran yang boleh menjadi mentor dan memberikan tunjuk ajarnya. Belajarlah dari mereka akan teknik pelaburan ini dan kalau mereka tak tahu cara dan kaedah untuk buat duit di pasaran saham maka tinggalkanlah mereka.

Sebenarnya remisier yang bijak, berhemah dan punya kemahiran dalam pelaburan saham pasti akan dapat membantu anda meningkatkan modal dalam pasaran saham. Itu saya pasti.

Sekali lagi saya ulangi membeli saham IPO di MITI contohnya hanya seumpama mendapat ikan tetapi anda tidak mendapat joran dan ditunjukkan keadah memancing ikan. Maka di sini remisier yang bijak pasti akan dapat membantu berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka untuk anda demi meningkatkan kedudukan kewangan anda melalui kaedah pelaburan di pasaran saham.

Semua huraian ini menunjukkan yang ianya selamat untuk melabur dalam pasaran saham kerana begitu banyak pendekatan dan penambahbaikan telah dibuat selama hari ini dan banyak lagi yang akan dilakukan demi untuk menjadikan pelaburan saham satu kaedah terbaik meningkatkan status kewangan anda. Apa yang penting ialah anda mempunyai ilmu mengenainya.

Sekiranya anda ingin belajar kaedah melabur anda boleh menghubungi saya Faizal Yusup, mengikuti blog ini atau menyertai seminar yang saya jalankan dari masa ke semasa. Saya sedia berkhidmat untuk anda demi meningkatkan ekonomi ummah. InsyaAllah.

Setakat ini dahulu FY mengundur diri.

Faizal Yusup
Exco Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia.

Tuesday, November 1, 2011

KEPUTUSAN SAHAM KHAS SIRIJAYA HOLDINGS BERHAD


PENGUMUMAN:
Gas Malaysia Berhad 
PENANGGUHAN KEPUTUSAN SAHAM KHAS GAS MALAYSIA BERHAD

" Dimaklumkan pada masa ini Gas Malaysia Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad, selaku Penasihat Utama masih di dalam proses memenuhi syarat-syarat kelulusan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, keputusan permohonan Saham Khas Bumiputera bagi penawaran awam awal Gas Malaysia Berhad hanya akan diberitahu melalui Portal MITI pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian." 

Sirijaya Berhad
KEPUTUSAN SAHAM KHAS SIRIJAYA HOLDINGS BERHAD

" Dimaklumkan keputusan permohonan Saham Khas Bumiputera bagi penawaran awam awal Sirijaya Holdings Berhad akan diumumkan melalui Portal MITI mulai 1 November 2011."

Sunday, October 30, 2011

Analisa Pelaburan Saham Di Bursa Malaysia


Dalam artikel yang lalu telah saya terangkan mengenai kaedah pelaburan saham melalui IPO dan IPO MITI. Pelaburan saham-saham sebelum ia disenaraikan di Bursa Malaysia. Dalam bab ini saya akan terangkan pula mengenai pembelian saham yang telah tersenarai di Bursa Malaysia atau ready market. Pelaburan dalam saham ready market ini sebenarnya agak rumit dan memerlukan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang jitu. Namun demikian di sini saya akan cuba memudahkannya untuk pengetahuan sidang pembaca sekelian dengan harapan ia membawa manfaat kepada anda yang baru menceburkan diri dalam bidang saham ini.

Secara dasarnya apa yang perlu diketahui bila anda ingin memulakan pelaburan saham ialah kita perlu melihatnya dari sudut makro iaitu dari sudut ekonomi dunia, Amerika, menuju ke Asia, Asia Pasifik, Malaysia hinggalah ke sudut mikro iaitu Industri, Sektor hinggalah kepada syarikat yang ingin kita laburkan itu.

Ini kerana pasaran punya apa yang dinamakan sentimen. Sentimen ialah perkara-perkara yang berlaku yang secara tak langsung memberi impak kepada saham syarikat yang kita laburkan itu.

ANALISA MAKRO

Dari segi makro kenaikan dan penurunan harga komoditi, kenaikan harga minyak mentah contohnya akan pasti menjejaskan banyak syarikat namun demikian ia tetap akan menguntungkan syarikat berkaitan minyak. Negara kita ini sebenarnya beruntung kerana mempunyai pelbagai sumber bahan mentah yang mana setiap sentimen yang berlaku akan membawa kebaikan kepada salah satu diantara industri-industri ini.

Contohnya kejadian tsunami di Jepun akan menguntungkan syarikat pembalakan di negara ini, merebaknya penyakit H1N1 contohnya akan menguntungkan syarikat getah yang mengeluarkan sarung tangan dan alat kelengkapan perubatan, kenaikan harga sawit akan menguntungkan syarikat-syarikat perladangan sawit ini dan begitulah seterusnya. Inilah kelebihan syarikat-syarikat di negara ini.

Seperkara lagi dewasa ini kita banyak mendengar akan kisah bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, banjir besar, gunung berapi dan sebagainya. Baru-baru ini banjir besar berlaku Bangkok Thailand, gempa bumi di New Zealand, China, Indonesia dan sebagainya menyebabkan kebanyakan pelabur akan mengeluarkan pelaburan mereka malah menghindar dari melabur ke dalam negara-negara ini kerana risiko bencana alam ini. Dewasa ini institusi-institusi pelaburan luar negara mula menilai faktor bencana alam ini sebagai salah satu nilai penting sebelum pelaburan dibuat dalam negara-negara ini. Sekali lagi Malaysia beruntung kerana negara ini tidak punya masalah-masalah bencana alam yang teruk sebegini. Menurut penganalisis pasaran Christchurch New Zealand akan mengambil masa 30 tahun sebelum ia bangkit kembali. Di Bangkok angka kerugian yang disebabkan banjir besar itu dianggarkan melebihi RM$400 Billion.

Seterusnya faktor politik. Di negara seperti Filipina, Thailand, Indonesia malah dewasa ini di Timur Tengah pergolakkan politiknya begitu ketara hingga membawa kepada pembunuhan pemimpinnya mahupun pengambilalihan kuasa dari satu tangan kepada tangan yang lain. Semua ini sebenarnya secara langsung menjejaskan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Filipina contohnya yang satu ketika begitu kaya telah jatuh miskin semenjak pemerintahan Marcos contohnya. Indonesia telah sedar yang semua ini membawa kepada permasalahan maka dewasa ini rakyatnya lebih matang dan mula menekankan kepada peningkatan ekonomi dengan memastikan yang mereka mempunyai kerajaan memerintah yang stabil. Inilah antara sebabnya dewasa ini ekonomi mereka mula rancak malah pasaran saham mereka telah mengatasi Malaysia dari segi modal pasarannya.

Sekali lagi negara Malaysia beruntung kerana kita tak punya masalah pergolakan politik yang begitu teruk sepertimana yang berlaku di negara-negara ini mahupun sepertimana yang berlaku di timur tengah. Bencana alam mahupun pergolakan kuasa ini sebenarnya menjejaskan ekonomi dan bakal membawa kita selangkah ke belakang. Dalam hal ini saya harap rakyat menjadi lebih matang dan memahami semua ini. Pilihlah kerajaan dengan berhemah, kerajaan yang boleh membawa kita maju ke hadapan. Janganlah menggunakan kaedah kekerasan untuk mengambil alih kuasa kerana ia akan membawa kepada banyak keburukan kepada sosio ekonomi negara ini.

Singapura contohnya menjalankan demokrasi yang agak autokrasi yang mana pemimpinnya seakan diktator dibawah kepimpinan Lee Kwan Yew namun negara itu tetap maju dari segi ekonominya kalau dibandingkan dengan negara-negara serantaunya. Mungkin anda akan berkata ia sebuah negara kecil dengan populasi penduduk yang terhad yang mudah dipimpin namun sedarkan anda banyak lagi negara kecil yang punya sampel yang lebih kurang sama tidak berjaya sepertimana yang ditunjukkan oleh Singapura.

Namun demikian tanpa sumber mentah di negara itu ia akan menjejaskan mereka dalam jangkamasa panjang, dewasa ini Singapura terpaksa mencari jalan lain untuk merancakkan ekonomi negara itu. Mereka menggunakan pelaburan sebagai salah satu jalannya dan seperkara lagi dewasa ini mereka menggunakan jalan hiburan dan perjudian bagi menjana ekonomi berdasarkan model di Las Vegas, Nevada. Jadi tak hairanlah kalau mereka akan membenarkan tarian bogel, pemerdagangan seks, perjudian dan sebagainya.

Kejatuhan sistem kewangan komersial yang dipelopori Barat pula membawa keuntungan kepada sistem kewangan Islam dan negara ini merupakan antara negara yang terkehadapan dalam sistem kewangan Islam ini. Sekali lagi hakikatnya alangkah beruntungnya negara ini. Merudumnya sistem kewangan komersial barat telah menyebabkan banyak syarikat-syarikatnya seperti Tyco, Johnson and Johnson, Enron, Bear Stern, Lehman Brothers dan sebagainya melungkup dan jatuh bankrap. Bukan syarikat sahaja yang terjejas tetapi banyak negara-negara barat juga mengalami masalah yang sama. Iceland, Belarus, Greece, Italy, Portugal, Spain juga sedang senak dan menghadapi malsah kewangan yang meruncing. Semuanya disebabkan ketamakan mereka berbelanja tidak mengikut kemampuan kewangan mereka sendiri, mengeluarkan produk-produk kewangan derivatif yang menipu pelabur dan sebagainya.   

Mungkin ramai yang tidak sedar dan tak tahu akan betapa banyaknya kebaikan yang ada dalam negara ini demi untuk kemajuannya di masa mendatang saya harap huraian ringkas ini boleh membawa kefahaman kepada anda mengenainya. Sebenarnya banyak lagi faktor yang positif untuk negara ini yang boleh dihuraikan seperti skil tenaga kerja, pendidikan, kedudukan geografi, kelebihan produk halal dan sebagainya tapi cukuplah setakat itu buat masa ini.

Semua faktor ini sebenarnya menyebabkan keputusan untuk melabur dalam saham-saham syarikat tersenarai dalam Bursa Saham di negara ini merupakan satu keputusan yang bijak dan akan menguntungkan di masa-masa yang mendatang.

ANALISA MIKRO

Seperti yang saya katakan tadi negara ini mempunyai banyak kelebihan dalam banyak segi jadi disini sudah tentulah syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan dalam negara ini seharusnya mendapat keuntungan dari perniagaan yang dijalankan andai ia dijalankan dengan urus tadbir yang betul. Mungkin kalau adapun masalah negara ini ialah populasinya sekitar 28 juta orang adalah satu jumlah yang agak kecil. Oleh itu consumer spending atau perbelanjaan pengguna dalam negara juga kecil kalau dibandingkan dengan negara-negara yang populasinya besar. Negara seperti ini cepat bangkin dari kegawatan ekonomi kerana perniagaan yang dijana dalam negara sudah cukup untuk merancakkan ekonomi mereka.

Apapun kita telah jauh melangkah maju semenjak tahun-tahun 90 an dimana ekonomi negara berkembang dengan pesat, bidang pembinaan, pembankan, telekomunikasi dan sebagainya mengalami pertumbuhan yang amat menggalakkan. Disamping itu juga peningkatan dalam bidang pendidikan dan tenaga kerja juga jelas kelihatan. Semakin lama semakin ramai profesional yang dilahirkan di negara ini yang menyumbang kepada pembangunannya.

Bertitik tolak dari semua ini, syarikat getah, kelapa sawit, perkilangan, pembinaan, pembankan dan sebagainya berkembang dengan baik hingga membawa kepada ketepuan. Ketepuan yang dimaksudkan di sini ialah syarikat telelomunikasi contohnya telah tepu hinggakan boleh dikatakan semua penduduk di negara ini dari yang dewasa kepada kanak-kanak mempunyai alat perhubungan telefon untuk berhubung. Dalam sektor pembankan pula ia telah begitu tepu hingga boleh dikatakan di setiap pelusuk di negara ini sudah pasti ada bank untuk kemudahan semua.

Ini menyebabkan syarikat-syarikat ini mesti melebarkan sayap ke luar negara untuk ia terus berkembang dan berdaya saing. Inilah sebabnya dewasa ini kita dapat lihat syarikat-syarikat yang diperbadankan di negara ini mula melangkah maju membuka cawangan, mengambil alih syarikat-syarikat di luar negara. Bank CIMB contohnya melangkah ke Indonesia, Thailand, Singapura dan sebagainya. Syarikat telekomunikasi AXIATA milik Telekom juga mengembangkan sayapnya ke negara India dan kebanyakan negara Asia Pasifik yang lainnya. Banyak syarikat pembangunan hartanah dan pembinaan negara ini juga telah melebarkan sayapnya bukan hanya di rantau Asia Pasifik namun ke Australia, Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin malah ke Eropah sekalipun. Syarikat yang mengeluarkan sarung tangan getah TOPGLOVE contohnya menjadi syarikat terbesar di dunia dalam penghasilan sarung tangan getah, syarikat perladangan sawit juga tak kurang hebatnya di mata dunia. Dewasa ini syarikat penerbangan AIR ASIA juga mula mengorak langkah di Asia dalam industri penerbangan tambang murah.

Jadi, bukankah satu masa nanti syarikat-syarikat ini bakal menjadi syarikat gergasi yang global? Bagaimana pula harga sahamnya? Sudah pasti ia akan melonjak naik begitu tinggi hingga kemungkinan satu hari nanti ia tak mampu lagi dibeli oleh pelabur-pelabur runcit. Syarikat Korea Selatan seperti Samsung, Hyundai, Kia, LG dan sebagainya telah berjaya menembusi pasaran dunia, dalam hal ini sebenarnya tiada sebab syarikat-syarikat negara ini tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Sekali lagi saya tekankan melabur saham dalam syarikat-syarikat di Bursa Malaysia adalah sesuatu yang pasti akan menguntungkan anda di masa-masa mendatang. Persoalan yang tinggal kini ialah bagaimana untuk memilih syarikat-syarikat yang baik, utuh dan mempunyai potensi besar di masa-masa yang mendatang yang mana akan menguntungkan pelaburan yang kita jalankan itu. Apapun dalm bab-bab yang mendatang semua ini akan saya huraikan dengan cara yang semudah mungkin untuk kefahaman anda semua.

ANALISA SYARIKAT

Sebenarnya dalam benang tamadun negara ini yang masih mentah maka masih terdapat banyak kelompongan dari banyak segi untuk kita maju dan menjadi syarikat-syarikat global yang disegani. Penganalisis mengatakan yang kita tersangkut dalam middle earner income setelah sekian lama dan sehingga kini masih belum dapat masuk ke peringkat high earner income kerana faktor-faktor yang tertentu.

Bagi memudahkan kefahaman analoginya begini. Kalau dahulu kita punya jalan tanah merah sehala ia berkembang menjadi jalan dua hala, diletakkan garisan, kemudian diturap, dipasang lampu jalan, pembahagi jalan, pokok hiasan, berkaki lima dan hingga kini siap dengan pelbagai arca-arca menghiasi perjalanan.

Inilah yang berlaku di negara-negara Barat dimana boleh dikatakan setiap tempatnya berturap dan dihiasi dengan pelbagai perkakasan. Semua ini boleh dilakukan dengan adanya sumber kewangan.

Dalam hal ini, dalam negara ini masih banyak kelompongan yang masih ada. Masih banyak kelemahan yang perlu kita atasi. Kita masih belum punya cukup saintis, jurutera, perekacipta, pakar kewangan, pakar perubatan yang boleh membawa kepada penciptaan produk buat manusia sejagat. Contohnya kita masih ketinggalan dalam bidang perkilangan kerana orang kita tak punya kilang. Kita ketinggalan dalam bidang ekonomi Islam kerana kita tak punya tenaga kerja pakar yang mencukupi. Kita tak punya kepakaran pemasaran yang membolehkan kita bersaing di peringkat global. Sebenarnya banyak lagi kelompongan yang masih ada yang perlu kita baiki sebelum kita dapat berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan orang-orang di negara maju.  

Facebook contohnya hanya bermula kurang 10 tahun yang lalu tetapi dengan bantuan Sean Parker pengasas Napster yang mempolopori laman web muzik yang dimuat turun secara percuma, ia berkembang pesat dan menguasai dunia hingga semua orang memperkatakan mengenainya. Syarikat Facebook ini sekarang bernilai lebih USD25 Billion.

Kebanyakan pengarah-pengarah syarikat-syarikat di Amerika contohnya terdiri daripada mereka-mereka yang berjaya. Mereka ini pula sanggup membelanjakan wang ringgit bagi membayar non executive non independent director dari syarikat-syarikat seperti Coca Cola, Nike, Mc Donald’s dan sebagainya demi untuk membantu mereka mengorak langkah memasuki pasaran global. Ia tak berlaku di sini bila non executive non independent director di sini yang dibayar elaun merupakan kroni syarikat yang mana sumbangannya amat terhad dan minimal. Inilah perbezaannya.

Apapun semua ini memerlukan masa. Pembentukan semua nilai-nilai ini pasti lambat laun aku berlaku dan segala kelompongan-kelompongan ini akan dapat ditutup dan diperbaiki hingga syarikat-syarikat boleh bersaing di peringkat global. Jadi di sini bagi tujuan pelaburan kita mestilah tahu cara menilai syarikat mana yang punya kelebihan dan tahu menutup kelompongan yang ada dibandingkan dengan syarikat yang lemah tadbir urusnya. Memilih syarikat yang salah pasti akan merugikan pihak anda sendiri.

Sekian dulu buat kali ini.